DUNIA > BERITA

PELURU MENGENAI TELINGA KANAN SAYA - TRUMP

14/07/2024 11:49 AM

WASHINGTON, 14 Julai (Bernama-Anadolu) -- Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan terkena tembakan pada bahagian telinga kanannya dan beliau dalam keadaan baik selepas kejadian tembakan yang mengakibatkan kematian pada Sabtu semasa perhimpunan kempennya di Pennsylvania, menurut Agensi Anadolu.

“Sungguh luar biasa tindakan sebegini boleh berlaku di negara kita. Tiada apa yang diketahui mengenai penembak itu buat masa ini, yang kini telah meninggal dunia. Saya ditembak dengan peluru yang menembusi bahagian atas telinga kanan saya.

“Saya segera tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena kerana saya mendengar bunyi berdesing, tembakan, dan serta merta merasakan peluru itu menembusi kulit. Banyak pendarahan berlaku, jadi saya menyedari apa yang berlaku,” tulis calon Presiden AS itu di platform media sosialnya, Truth Social.

Menurut rakaman, detik awal kejadian tembakan bermula dengan bunyi tembakan kedengaran. Tidak lama kemudian, Trump dilihat mengangkat tangan ke bahagian kanan kepalanya dengan telinga kanan yang berdarah ketika beliau dibawa keluar dari pentas di Butler.

Perkhidmatan Rahsia AS dalam kenyataan di X memaklumkan suspek penembak yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas sehingga mencederakan Trump semasa perhimpunan kempennya telah ditembak mati.

Ketua Komunikasi Perkhidmatan Rahsia AS, Anthony Guglielmi berkata seorang penonton terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam kejadian itu.

Kejadian itu sedang disiasat dan Perkhidmatan Rahsia telah memaklumkan secara rasmi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin dalam satu kenyataan berkata: "Seluruh Jabatan Pertahanan mengutuk keganasan ini yang sama sekali tidak mempunyai tempat dalam demokrasi kita".

Bekas Presiden AS Barack Obama turut menyatakan kecamannya berhubung insiden itu.

"Walaupun kita masih belum mengetahui dengan tepat apa yang berlaku, kita semua harus berasa lega kerana bekas Presiden Trump tidak cedera parah, dan menggunakan masa ini untuk komited semula kepada kesopanan dan rasa hormat dalam politik kita. Michelle dan saya mendoakan agar beliau cepat sembuh," menurutnya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan