DUNIA > BERITA

EU, ASEAN JALIN KERJASAMA DALAM PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN DENGAN INISIATIF €9.3 JUTA

18/07/2024 01:36 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 18 Julai (Bernama) -- ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) melancarkan program bernilai US$10.17 juta (€9.3 juta) - Pakej Kesalinghubungan Mampan (SCOPE) dalam Pengajian Tinggi - yang bertujuan meningkatkan mobiliti pelajar dan akademik di ASEAN serta memupuk rangkaian universiti rentas wilayah EU-ASEAN dalam penyelidikan.

Program itu yang dijadualkan berlangsung sehingga Januari 2028, juga bertujuan untuk memperkukuh pendidikan vokasional dengan penekanan pada peralihan hijau, kemampanan dan pendigitalan.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Duta Kesatuan Eropah ke ASEAN Sujiro Seam di ibu pejabat ASEAN di sini pada Rabu.

"Kerjasama ini bukan sahaja memperkasa pemimpin masa depan kita tetapi juga berfungsi sebagai jambatan yang menutup jurang dan mewujudkan peluang yang saksama untuk semua," kata Kao.

Sementara itu, Seam berkata projek SCOPE dalam Pengajian Tinggi adalah sebahagian daripada keseluruhan Pakej Kesalinghubungan Mampan EU-ASEAN (SCOPE) yang diterima pakai oleh EU pada April 2023.

"Asia Tenggara adalah rantau utama dan kami ingin mengembangkan hubungan yang mampan dan dipercayai dengan negara-negara ASEAN," katanya.

Tahun ini, melalui program Erasmus Plus, EU memberikan biasiswa Erasmus Mundus Joint Master kepada lebih daripada 200 pelajar ASEAN, membolehkan mereka belajar di dua atau lebih negara Eropah.

Dari 2014 hingga 2023, hampir 12,000 pelajar dan sarjan ASEAN mengambil bahagian dalam pengajian jangka pendek dan pengajaran di Eropah, manakala kira-kira 6,000 pelajar dan cendekiawan Eropah datang ke ASEAN untuk peluang yang serupa.

Dalam penyelidikan, EU membiayai 90 geran melalui program Horizon Europe antara 2021 dan 2024, melibatkan 109 institusi dari ASEAN, dengan jumlah sumbangan EU sebanyak US$11.59 juta (€10.6 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan