DUNIA > BERITA

MESYUARAT KESELAMATAN MARITIM PERKUKUH KERJASAMA POLIS INDONESIA-MALAYSIA

19/07/2024 06:01 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Kumpulan Penyelarasan Rondaan Sempadan Maritim (MBPCG) Ketujuh antara Polis Nasional Indonesia (Polri) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan untuk meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dalam aktiviti rondaan sempadan maritim, berakhir di Bali, pada Jumaat.

Mesyuarat selama lima hari itu, bermula pada 15 Julai dihadiri oleh 10 pegawai kanan PDRM dan wakil mereka di Jakarta, Medan, Tarakan dan Pontianak.

Ia dirasmikan oleh Ketua Bahagian Pemeliharaan Keamanan (Baharkam) Polri, Pesuruhjaya Fadil Imran, pada Selasa.

Fadil, dalam satu kenyataan berkata MBPCG bertujuan untuk memperkukuh hubungan persahabatan, penyelarasan, dan komunikasi antara "Korps Kepolisian Air dan Udara Indonesia" (Korpolairud) dan Pasukan Polis Marin Malaysia (PPM) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) Malaysia.

“Perbincangan ini amat penting, terutamanya dalam menangani ancaman jenayah yang semakin kompleks. Oleh itu, penyelarasan berterusan dan perkongsian maklumat dalam tugasan sempadan adalah penting,” katanya.

Ketua Korpolairud, Inspektor Jeneral Polis Mohammad Yassin Kosasih, optimis bahawa penyelarasan yang diperkuat antara rondaan Polri dan PDRM akan mencapai sempadan yang selamat dan dalam keadaan teratur untuk kedua-dua negara.

“Kerjasama kita akan saling menguntungkan dan memperkukuh peranan ASEAN dalam mencapai keamanan, kestabilan serantau, dan kemakmuran, seterusnya meningkatkan potensi ekonomi setiap negara,” katanya.

MBPCG menekankan keperluan untuk meningkatkan pelan rondaan dan penyelarasan, perkongsian maklumat maritim, operasi mencari dan menyelamat, mesyuarat tiga pihak yang melibatkan Indonesia, Malaysia, dan Singapura, pembinaan kapasiti, dan persiapan untuk program latihan bersama ‘Aman Malindo 2025’.

Para pegawai juga berkongsi maklumat mengenai isu berkaitan perlindungan pekerja migran Indonesia, imigresen dan narkotik.

Sementara itu, PDRM akan menyediakan peluang untuk Polri menjalani latihan pada simulator helikopter AW 139 milik Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan