DUNIA > BERITA

PELAJAR MALAYSIA DIPINDAHKAN KE SURUHANJAYA TINGGI DI BANGLADESH UNTUK KESELAMATAN - WISMA PUTRA

21/07/2024 02:44 PM

PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara tetap menjadi kepentingan utama berikutan situasi semasa di Bangladesh.

Dalam kenyataan terkini (Wisma Putra) pada Ahad, kementerian mengesahkan pelajar Malaysia yang terjejas oleh situasi semasa di Bangladesh telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi untuk keselamatan mereka.

“Kementerian memahami kebimbangan rakyat Malaysia mengenai keselamatan ahli keluarga mereka di Bangladesh. Selain menilai perkembangan terkini dengan teliti, Kementerian dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk pemindahan jika perlu.

Kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan lain untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh,” katanya.

Kementerian juga menggesa semua pelajar Malaysia untuk kekal berhubung dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi di sana.

“Kementerian telah mengaktifkan Bilik Operasi, yang boleh dihubungi oleh ahli keluarga terdekat pelajar Malaysia di Bangladesh di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di taskforcebangladesh@kln.gov.my,” kata Wisma Putra.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu yang menjanjikan bantuan untuk mereka  di Bangladesh dan mengesahkan sebarang maklumat dengan menghubungi Bilik Operasi.

Ia menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuatkuasa. 

Kementerian akan memantau dengan rapi situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Sehingga lewat Jumaat (19 Julai), daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua orang telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi.

Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.

Perkhidmatan Internet, rangkaian data mudah alih, dan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan