DUNIA > BERITA

MARCOS: FILIPINA TIDAK AKAN BERUNDUR DALAM PERTIKAIAN LAUT, WALAUPUN PERJANJIAN DENGAN CHINA

23/07/2024 06:08 AM

MANILA, 22 Julai (Bernama-dpa) -- Filipina tidak akan berundur daripada menegaskan haknya di Laut China Selatan yang dipertikaikan, walaupun mencapai perjanjian dengan Beijing untuk mengelakkan konfrontasi di kawasan itu, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Filipina tidak boleh mengalah. Filipina tidak boleh goyah," kata Marcos disambut dengan tepukan gemuruh dan tepukan berdiri semasa ucapan negara tahunannya di hadapan Kongres.

"Laut Filipina Barat bukan sekadar khayalan kita," katanya, merujuk kepada kawasan itu dengan nama tempatannya. "Ia milik kita. Dan ia akan kekal milik kita, selagi semangat negara tercinta kita Filipina terus membara."

Kenyataan Marcos dikeluarkan sehari selepas Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina mengumumkan bahawa Manila dan Beijing bersetuju dengan "pengaturan sementara" tentang bagaimana Filipina boleh menghantar bekalan kepada tenteranya di BRP Sierra Madre di Second Thomas Shoal, yang secara tempatan dipanggil Ayungin Shoal.

Tiada butiran telah dikeluarkan, tetapi jabatan itu menegaskan bahawa perjanjian itu tidak menjejaskan kedudukan negara.

China telah secara agresif menyekat misi bekalan semula Filipina ke beting itu, yang terletak 195 kilometer di barat wilayah Palawan di Filipina dan berada dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.

Filipina mendaratkan BRP Sierra Madre, sebuah kapal tentera laut usang, di beting itu pada 1999 untuk menandakan tuntutan negara itu ke atas kawasan berkenaan. Tentera Filipina ditempatkan di bangkai kapal yang berkarat itu.

-- BERNAMA-dpa


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan