DUNIA > BERITA

HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA MILIKI POTENSI BESAR UNTUK DITEROKAI 50 TAHUN LAGI - PENGANALISIS 

23/07/2024 05:10 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Melangkah ke era baharu yang penuh harapan, hubungan Malaysia-China diyakini akan terus berkembang dan mencapai kejayaan yang lebih besar.

Bermula dengan termeterainya hubungan diplomatik secara rasmi pada 31 Mei 1974, kedua-dua negara telah meniti 50 tahun pertama dengan membina asas kukuh dalam pelbagai bidang terutamanya melibatkan sektor ekonomi dan pelaburan.

Dalam tempoh ini, Malaysia dan China telah mempamerkan komitmen jitu bagi memperkukuh ikatan yang memberi manfaat penting kepada kedua-dua negara.

Kejayaan ini dipamerkan dengan kemunculan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

Nilai dagangan dua hala mencecah RM450.84 bilion (US$98.80 bilion) pada 2023, meningkat lebih 481 kali ganda berbanding hanya sekitar US$200 juta (RM937 juta) pada 1974.

Para penganalisis optimis bahawa hubungan yang bertaraf Perkongsian Strategik Komprehensif itu mempunyai ruang dan peluang besar untuk terus dikembangkan demi manfaat bersama.

Pakar Geostrategi Prof. Dr. Azmi Hassan berkata bahawa meskipun berdepan cabaran, termasuk isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan, hubungan ini harus dikekalkan berpaksikan dasar negara yang neutral dan tidak berpihak.

Beliau menegaskan bahawa hubungan kukuh Malaysia-China selama ini terjalin kerana nilai persahabatan yang bersandarkan kepada kesalingpercayaan dan situasi menang-menang.

Ia sekali gus menidakkan persepsi bahawa Malaysia memihak kepada China dalam soal geopolitik, kata Azmi kepada Bernama

"Malaysia rapat dengan China dan juga dengan Amerika Syarikat (AS) kerana apa yang kita inginkan ialah menentukan aktiviti dagang itu tidak terencat (akibat persaingan geopolitik China dan AS)," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang menyatakan komitmen mereka untuk menggalakkan dunia multipolar yang baik dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif menerusi satu kenyataan bersama.

Dalam kenyataan bersama antara China dan Malaysia, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa dunia sedang melalui perubahan yang pesat dan telah memasuki tempoh baharu ketidakstabilan dan transformasi.

“Kedua-dua negara merupakan wakil penting untuk negara-negara sedang membangun di Asia dan ekonomi pesat membangun.

“Kepentingan hubungan dua hala yang strategik terus diketengahkan, yang penting bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga masa depan rantau ini, meningkatkan perpaduan dan kerjasama 'Global South',” menurut kenyataan yang dibuat ketika lawatan rasmi Li bersempena sambutan jubli emas hubungan diplomatik antara kedua-dua negara di Malaysia baru-baru ini.

 "Hubungan Malaysia dan China juga boleh menjadi model yang patut dicontohi, dengan kuasa besar boleh berdagang dan berurusan untuk kepentingan bersama tanpa mengambil kesempatan ke atas negara kecil," kata Azmi.

Azmi juga berkata bahawa kemunculan China sebagai kuasa besar dunia boleh menjadi teladan kepada negara pesat membangun seperti Malaysia, terutama dalam sektor ekonomi, infrastruktur, teknologi tinggi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

Malaysia boleh mempelajari bagaimana China menjadikan pasaran domestik sebagai sandaran utama ekonominya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik di Universiti Malaya, Dr. Lam Choong Wah berkata antara bidang baharu yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia dalam hubungan yang semakin berkembang dengan China ialah eksplorasi angkasa.

Susulan kejayaan besar China dalam eksplorasi Bulan dan misi ke Marikh, Malaysia boleh memanfaatkan kepakaran China dalam bidang ini.

"Malaysia seharusnya tidak lagi menjadi pemerhati dalam bidang ini. Kita perlu mengambil bahagian secara aktif dalam era penemuan yang penting ini," kata Lam.

“Malaysia boleh mengambil peluang bekerjasama dengan China, contohnya dengan menghantar rakyat kita ke Akademi Sains China untuk menjalankan penyelidikan bersama mengenai tanah Bulan,” katanya.

Beliau berkata faktor ini juga sejajar dengan cita-cita Malaysia untuk membangunkan industri angkasa.

Tahun lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata Malaysia sedang mengkaji kemungkinan untuk menubuhkan tapak pelancaran angkasa di sini dengan alasan kedudukan geografi unik negara dan potensi ekonomi besar yang boleh dijana dari industri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan