DUNIA > BERITA

NIGERIA DENDA META US$220 JUTA ATAS AMALAN DISKRIMINASI

24/07/2024 11:39 AM

ABUJA, Nigeria, 24 Julai (Bernama-Xinhua) -- Meta Platforms dan WhatsApp dikenakan denda sebanyak US$220 juta kerana didakwa mengamalkan diskriminasi dan melanggar undang-undang Nigeria, menurut badan pemerhati persaingan negara itu pada Selasa.

Suruhanjaya Persaingan dan Perlindungan Pengguna Persekutuan (FCCPC), dalam satu sidang media mengumumkan bahawa denda itu dikenakan terhadap Meta Platforms dan WhatsApp selepas tiga tahun siasatan.

Pemangku ketua FCCPC, Adamu Abdullahi berkata bahawa Meta Platforms didapati bersalah kerana menafikan hak pengguna Nigeria bagi menentukan sendiri dan melakukan pemindahan serta perkongsian data peribadi tanpa kebenaran, berbeza daripada amalan di wilayah lain.

Di wilayah lain, Meta Platforms memberi pilihan kepada penggunanya memutuskan sama ada mereka mahu berkongsi data, namun hal ini tidak berlaku di Nigeria, kata Abdullahi.

Oleh itu pada minggu lalu, pihak berkuasa persaingan mengeluarkan perintah dan mengenakan penalti terhadap amalan diskriminasi di Nigeria.

"Kami mendapati apabila anda mendaftar untuk kali pertama menyertai WhatsApp, terdapat ruangan yang menyatakan bahawa anda telah bersetuju agar data anda dikongsi bagi tujuan penyelidikan.

Selain itu, kami juga mendapati bahawa mereka berkongsi data merentasi platform lain," kata Abdullahi.

Sementara itu, WhatsApp memaklumkan badan induknya akan membuat rayuan berhubung denda terbabit dan pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat badan pemerhati persaingan tempatan, lapor Agensi Berita Nigeria memetik kenyataan rasmi.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan