DUNIA > BERITA

JEPUN LANTIK PAKAR EKONOMI DI MISI DIPLOMATIK ASEAN

24/07/2024 03:44 PM

TOKYO, 24 Julai (Bernama-VNA) -- Menteri Luar Jepun Kamikawa Yoko pada 23 Julai mengumumkan pelantikan pakar ekonomi di enam misi diplomatik di lima negara menjelang lawatannya ke Laos dan penyertaan dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) dari 25-28 Julai.

Langkah strategik itu bertujuan untuk menyediakan sokongan optimum bagi syarikat Jepun yang meneroka peluang dalam pasaran Asia Tenggara dan Asia Selatan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pakar ekonomi itu akan ditempatkan di kedutaan Jepun di Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan India, serta Konsulat Jeneral di Ho Chi Minh City.

Kamikawa menekankan komitmen kukuh Jepun untuk integrasi dan meningkatkan kesalinghubungan dengan Komuniti ASEAN, sambil mengiktiraf dinamik perdagangan aktif dalam rantau ASEAN.

Penempatan pakar ekonomi di misi diplomatik Jepun di negara-negara ASEAN dijangka mengukuhkan peranan syarikat Jepun dalam memupuk perdagangan serantau sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Jepun.

Jepun merancang untuk mengembangkan lagi inisiatif ini kepada semua negara di "Global South" menjelang akhir tahun ini.

Menteri Luar Jepun dijadualkan melawat Laos dan menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-57 dan mesyuarat berkaitan.

Pada mesyuarat itu, Jepun dijangka mengukuhkan komitmennya untuk menangani isu bersama dengan negara ASEAN sebagai rakan kongsi untuk keamanan dan kemakmuran bersama melalui "penciptaan bersama" berdasarkan kepercayaan bersama. 

Tumpuan akan diberikan kepada "usaha untuk kemakmuran" dan "usaha untuk keamanan dan kestabilan".

Jepun menyokong peranan pusat dan bersatu ASEAN serta menyumbang secara aktif kepada ketersambungan serantau.

--BERNAMA-VNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan