DUNIA > BERITA

AMM KE- 57 BERMULA DENGAN SESI PLENO, PEMUKIMAN

25/07/2024 12:05 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 25 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 bermula di ibu negara Laos pada Khamis, dengan menteri-menteri luar bersidang bagi sesi pleno dan pemukiman di Pusat Konvensyen Nasional (NCC).

Bertemakan ‘ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience’, antara perkara penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai kemajuan pembangunan Komuniti ASEAN serta bidang keutamaan dan keberhasilan ASEAN 2024.

Ia adalah susulan daripada kajian dan keputusan pemimpin ASEAN mengenai Pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara, hubungan luar kumpulan serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat AMM ke-57 berkata, beliau akan menghadiri 19 mesyuarat penting berkaitan, bersama para pemimpin Asia Tenggara dan juga negara-negara berkepentingan.

"Kita akan ada macam-macam mesyuarat, mesyuarat dua hala, pelbagai hala dan bersama rakan ASEAN, kita akan bermesyuarat sehingga petang Sabtu ini.

“Selain mesyuarat-mesyuarat, kita juga akan mengadakan dialog bersama negara-negara berkepentingan," katanya kepada media Malaysia.

Mohamad menerusi jadualnya pada Khamis akan menghadiri mesyuarat sesi pleno dan permukiman bersama rakan sejawatan Asean sempena mesyuarat AMM, selain mengadakan mesyuarat dua hala dengan wakil dari Norway, Kanada dan United Kingdom.

Menteri itu berkata, mesyuarat bersama rakan sejawatan ASEAN adalah penting dalam memastikan agenda ASEAN dapat diselaraskan dengan baik.

Mohamad dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin turut dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud pada Khamis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan