DUNIA > BERITA

TAIWAN LANCAR INISIATIF AI BAGI PERKUKUH KEUPAYAAN EKONOMI GLOBAL

25/07/2024 02:17 PM

Oleh Teh Kuan Hong

TAIPEI, 25 Julai (Bernama) -- Taiwan, yang terkenal sebagai kuasa besar dalam industri semikonduktor global kini melancarkan inisiatif kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh keupayaan ekonominya dalam rantaian bekalan global.

Ia susulan ucapan sulung presiden baharu Taiwan, Lai Ching-te pada 20 Mei lalu yang menyatakan bahawa Taiwan perlu meningkatkan statusnya daripada 'pulau silikon' kepada pulau AI, dengan mengadaptasi AI ke dalam industri serta meningkatkan inovasi serta aplikasi AI.

Pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga sebulat suara mengenai perkara ini ketika ditemui kumpulan media antarabangsa yang terdiri daripada 13 wartawan dari 12 negara.

Kumpulan media antarabangsa itu menyertai lawatan anjuran Kementerian Luar Taiwan (MOFA) ke sektor rantaian bekalan global pulau berkenaan.

Sementara itu, Menteri Luar Taiwan, Dr Lin Chia-lung berkata dasar luar kerajaan yang merangkumi tiga tonggak iaitu demokrasi, keamanan dan kemakmuran akan menjadi sebahagian daripada usaha untuk memperdalam diplomasi ekonomi termasuk penggunaan AI.

"Kami akan memperkukuh hubungan diplomatik, terutamanya dengan negara-negara sekutu dan negara-negara yang berkongsi nilai yang sama," katanya dalam satu pertemuan semasa kunjungan hormat oleh kumpulan wartawan ke kompleks MOFA di sini baru-baru ini.

Menurut data Pentadbiran Pembangunan Industri Taiwan (IDA) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MOEA), pulau itu menduduki tempat kedua di dunia selepas Amerika Syarikat dalam pengeluaran semikonduktor global tahun lepas.

Syarikat-syarikat semikonduktor terkenal Taiwan termasuk Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. (TSMC), Mediatek dan ASE Group memiliki pelanggan yang terdiri daripada gergasi teknologi global seperti Apple, AMD, NVIDIA dan Qualcomm.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Taiwan, Tien Chung-kwang berkata TSMC sudah menghasilkan cip semikonduktor paling canggih di dunia untuk kegunaan AI, menjadikan Taiwan antara yang terbaik di Asia untuk menyebarkan aplikasi itu.

"Dengan AI dijangka terus menjadi pemacu utama industri semikonduktor global, kerajaan komited untuk mempromosikan Taiwan sebagai pulau AI dengan menubuhkan AI sebagai pemacu ekonomi kedua," katanya.

Dalam nada yang sama, timbalan menteri Majlis Pembangunan Nasional Taiwan, Kao Shien-quey berkata, Taiwan bukan sahaja bergantung kepada industri semikonduktor tetapi juga memanfaatkan kuasa AI bagi membantu industri seperti perubatan pintar, kewangan inovatif dan peruncitan untuk memulakan transformasi digital mereka.

Kao berkata selain itu, gabungan eksport komponen elektronik Taiwan serta industri ICT melebihi 60 peratus daripada jumlah eksportnya.

"Oleh itu, Taiwan perlu mencapai pembangunan seimbang merentasi semua sektor untuk empat tahun akan datang," katanya.

Kumpulan itu juga melawat Persekutuan Tekstil Taiwan, Delta Electronics dan Taman Sains Hsinchu sepanjang dua hari pertama lawatan.

Bagaimanapun, lawatan itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu akibat Taufan Gaemi, dengan Taiwan mengisytiharkan cuti pada Rabu dan Khamis (24 dan 25 Julai).

Menurut laporan antarabangsa, Gaemi melanda pantai timur Taiwan pada lewat malam Rabu, menyebabkan sekolah dan pejabat serta sektor komersial ditutup selama dua hari berturut-turut.

Tiga orang terbunuh akibat angin kencang dan hujan lebat yang dicetuskan taufan itu serta menyebabkan sekurang-kurangnya 8,000 orang terpaksa berpindah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan