DUNIA > BERITA

DUA LALUAN KERETA API KARGO CHINA-LAOS-THAILAND MULA BEROPERASI

25/07/2024 03:25 PM

KUNMING, 25 Julai (Bernama-CMG) -- Dua laluan kereta api pengangkutan kargo antarabangsa iaitu "Guangdong-Yunnan-Lancang-Mekong" dan China-Laos-Thailand (Kunming-Bangkok) beroperasi secara rasmi pada Rabu, dan dipercayai dapat membantu untuk meningkatkan kesalinghubungan antara wilayah Guangdong dan Yunnan di China dengan Asia Tenggara dalam bidang pengangkutan kargo antarabangsa.

Laluan "Guangdong-Yunnan-Lancang-Mekong" yang dibina dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bertujuan membentuk satu saluran logistik berkecekapan tinggi yang bertapak di bahagian selatan dan barat daya China ke Asia Tenggara.

Pelbagai jenis kargo diangkut melalui kedua-dua laluan kereta api itu merangkumi produk elektronik, permesinan dan barang untuk kegunaan harian dari Guangdong serta buah-buahan, getah dan produk perlombongan dari Asia Tenggara.

Menurut rancangan untuk masa hadapan, kedua-dua laluan kereta api itu akan disambungkan dengan Jaringan Kereta Api Kebangsaan China di utara yang mengakses pelbagai hab logistik di Kunming, Guangzhou, Shanghai, Xi'an, Chengdu, Chongqing dan Zhejiang serta boleh dilanjutkan ke Jerman dan Sepanyol melalui Laluan Kereta Api China-Eropah.

Di selatan, laluan itu akan disambungkan dengan pelabuhan di selatan Thailand dan boleh mengakses Malaysia dan Singapura.

Hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan Asia Tenggara dijangka menjadi semakin erat dan kondusif bagi kemakmuran dan pembangunan serantau.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan