DUNIA > BERITA

TPM Fadillah Wakili Malaysia Hadir Pengebumian Negara Nguyen Pho Trong Di Hanoi

26/07/2024 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat mewakili kerajaan Malaysia memberi penghormatan terakhir dan menghadiri Majlis Pengebumian Negara Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (PKV) Nguyen Phu Trong di Hanoi.

“Saya turut berpeluang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan seluruh rakyat Vietnam atas pemergian mendiang,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi hantaran di platform X.

Turut menyertai Fadillah di Rumah Pengebumian Nasional itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar  Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai.

Trong, 80, dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua. 

Fadillah turut berkongsi catatan yang menurutnya Trong, yang memimpin parti sejak 2011, adalah pemimpin pertama yang memegang tiga mandat berturut-turut dalam jawatan itu selepas liberalisasi ekonomi negara pada 1986.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar pada Khamis, Fadillah melakukan lawatan kerja ke Vietnam dari 25 hingga 26 Julai sebagai wakil kerajaan Malaysia ke Majlis Pengebumian Negara Trong itu.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata lawatan itu menggariskan komitmen Malaysia untuk terus mengekalkan hubungan diplomatik yang kukuh dengan Vietnam, di samping menghormati legasi yang ditinggalkan Trong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan