DUNIA > BERITA

Perbincangan Menteri Luar China, Laos diadakan di Vientiane

26/07/2024 03:36 PM

VIENTIANE, 26 Jul (Bernama-CMG) -- China dan Laos perlu meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi di negara masing-masing di bawah situasi terkini.

China bersedia memberi pendedahan kepada pihak Laos tentang semangat Sidang Pleno ketiga Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) penggal ke-20 dan langkah baharu untuk memperincikan pelaksanaan dasar pembaharuan secara menyeluruh supaya dapat berkongsi pengalaman yang ditimba daripada pembangunan dan pelaksanaan dasar pembaharuan serta bersama-sama meningkatkan keupayaan mentadbir di negara sosialis.

Demikian dinyatakan Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Menteri Luar, Wang Yi dalam perbincangan dengan Naib Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith di Vientiane semalam.

"Selain itu, kedua-dua pihak perlu melaksanakan rancangan tindakan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Laos yang ditandatangani pemimpin kedua-dua negara dan parti, berdasarkan operasi Laluan Kereta Api China-Laos yang semakin lengkap memacu pembinaan Koridor Ekonomi China-Laos dan membantu Laos mengembangkan ekonomi melalui peningkatan keupayaan berdikari," kata Wang.

"China akan terus memberi sokongan semampu mungkin kepada pembangunan sosioekonomi Laos, memperhalusi pelaksanaan projek kerjasama dalam bidang sumber tenaga dan mineral serta mengimport lebih banyak produk pertanian yang berkualiti dari Laos demi manfaat rakyat negaranya," tambah beliau.

Saleumxay Kommasith pula berkata status Laos yang berkembang dari "negara pedalaman tertutup" ke "hab kesalinghubungan" serantau tidak terlepas daripada sokongan China.

Laos menghargai persahabatan yang kukuh dengan China, menyokong pembinaan komuniti berkongsi nasib Laos-China, bersedia melaksanakan rancangan tindakan edisi baharu, membuat persiapan bagi pertukaran peringkat tinggi untuk fasa selanjutnya, mengambil tindakan yang tulen bagi merancakkan kerjasama dalam pelbagai bidang, bersama-sama membanteras jenayah rentas sempadan dan mengalu-alukan kedatangan pelancong China dalam bilangan yang semakin besar yang disokong oleh penguatkuasaan dasar bebas visa untuk rombongan.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan tentang kerjasama serantau.

Wang berkata China akan terus menyokong Laos menjalankan tanggungjawab sebagai negara pengerusi bergilir ASEAN supaya memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau.

Sejumlah dokumen kerjasama melibatkan isu hidup rakyat seperti pendidikan dan perubatan turut ditandatangani selepas perbincangan itu.

Sebelum ini, Wang telah secara berasingan menemui Setiausaha Agung Jawatankusa Pusat Parti Revolusi Rakyat Laos (LPRP) yang juga Presiden Laos, Thongloun Sisoulith dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone di Vientiane pada hari yang sama.

-- BERNAMA-CMG


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan