DUNIA > BERITA

Jaringan Rel Perancis Jadi Sasaran Perbuatan Khianat Sebelum Upacara Olimpik

26/07/2024 05:08 PM

PARIS, 26 Julai (Bernama-dpa) -- Rangkaian rel kereta api berkelajuan tinggi Perancis terjejas teruk selepas disasar beberapa serangan khianat menggunakan api beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik di Paris, lapor dpa memetik pengendali rel SNCF.

"SNCF menjadi mangsa beberapa tindakan khianat serentak yang menjejaskan laluan kereta api berkelajuan tinggi Atlantik, Utara dan Timur," kata firma itu pada Jumaat.

Laluan ke Stade de France, salah satu venue Sukan Olimpik, juga kini ditutup.

Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan, kata SNCF. Namun, ia menambah bahawa gangguan itu mungkin berlarutan sepanjang hujung minggu.

Olimpik di Paris secara rasmi bermula dengan pertunjukan unik di tengah-tengah Sungai Seine pada Jumaat malam. Buat pertama kali dalam sejarah Sukan Olimpik Musim Panas, upacara pembukaan tidak akan diadakan di stadium.

Sebaliknya, lebih daripada 200 delegasi negara akan belayar melintasi Sungai Seine melalui pusat Paris dan melewati tempat-tempat terkenal seperti Katedral Notre-Dame, Louvre dan Musée d'Orsay.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan