DUNIA > BERITA

Olimpik Paris: Atlet Gaza Tersepit Antara Impian Olimpik Dan Serangan Israel

27/07/2024 09:04 AM

ISTANBUL, 27 Julai (Bernama-Anadolu) - Dalam dunia sukan, Sukan Olimpik merupakan puncak pencapaian, menghimpunkan lelaki dan wanita terbaik dunia dalam pelbagai disiplin untuk menguji kemampuan atletik mereka dengan setiap edisi permainan.

Sementara atlet Olimpik dari kebanyakan negara bersiap sedia bertahun-tahun untuk memberikan prestasi terbaik mereka di acara sukan terbesar itu, atlet dari Palestin terpaksa menghadapi cabaran berganda untuk bertahan daripada pencerobohan tentera Israel yang berulang.

Hassan Abu Zaitar, Shaker Safi dan Basem Al-Nabahin hanyalah sebahagian daripada mereka yang terbunuh oleh serangan udara dan serangan darat Israel yang telah memusnahkan Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lepas.

Dengan bermulanya Sukan Paris pada 26 Julai, pembunuhan atlet dan pemain di Gaza oleh Israel, bersama-sama dengan pemusnahan kemudahan sukan di enklaf itu, telah mencetuskan tuntutan yang semakin meningkat untuk membatalkan kelayakan Israel daripada menyertai temasya Olimpik ketika aktivis dan penonton mempersoalkan kesahihan penyertaannya.

 

Penulis dan pengulas sukan Palestin berpendapat bahawa serangan Israel di Gaza yang membunuh hampir 40,000 Palestin, juga merupakan usaha untuk menghapuskan pencapaian sukan dan atletik.

"Ini adalah genosid...pembersihan etnik rakyat Palestin dan serangan terhadap atlet dan sukan khususnya di Semenanjung Gaza adalah serangan yang sangat sistematik untuk menghapus dan memadamkan sukan di wilayah itu," kata Abubaker Abed, seorang wartawan sukan yang berpangkalan di Gaza kepada Anadolu.

Niat Israel melangkah lebih jauh dengan menghapuskan kapasiti atletik semasa Gaza, menurut penulis dan pensyarah Abdaljawad Omar, yang berpendapat bahawa ia adalah sebahagian daripada usaha bersepadu Tel Aviv untuk menggugat pencapaian rakyat Palestin dalam semua bidang termasuk sukan.

"Israel secara sistematik berusaha untuk memastikan bahawa pencapaian dan potensi Palestin dalam semua bidang kekal lembap dan sentiasa dikerdilkan oleh pencapaiannya sendiri.

"Ini terpakai dalam bidang politik, intelektual, ekonomi dan sastera iaitu dari segi sejarah, ramai rakyat Palestin yang berbakat dan sangat berjaya telah menjadi sasaran. Sukan tidak terkecuali dalam pengertian ini," jelasnya.

 

 

Kematian Atlet

 

Situasi ini "sangat teruk" bagi atlet di Gaza, menurut wartawan bola sepak Abed, menambah bahawa ramai pemain terbunuh di wilayah itu.

Menurut Jawatankuasa Olimpik Palestin dan Persatuan Bola Sepak Palestin, kira-kira 400 atlet terbunuh sejak 7 Okt, dengan persatuan bola sepak menyatakan bahawa perang telah meragut nyawa 245 pemain dalam sukan itu sahaja, termasuk 69 kanak-kanak dan 176 golongan lelaki muda.

Seramai 33 pengakap dan 70 ahli kesatuan sukan juga terbunuh.

Menurut persatuan itu, pasukan Israel juga menahan pemain, termasuk 12 di Tebing Barat yang diduduki.

Serangan Israel juga membunuh beberapa atlet Olimpik. Enam puluh sembilan telah terbunuh semasa serangan berterusan Israel, kata Kempen Palestin untuk Boikot Akademik dan Kebudayaan terhadap Israel, yang dilancarkan pada 2004.

 

 

Kemusnahan Kemudahan Sukan

 

Selain atlet, kemudahan sukan juga tidak terkecuali. Berpuluh-puluh, termasuk gimnasium, dewan latihan, padang dan stadium, rosak atau musnah sejak 7 Okt.

Sejumlah 42 kemudahan telah diratakan di Gaza manakala  tujuh musnah di Tebing Barat, kata Persatuan Bola Sepak Palestin.

Abed menunjukkan bagaimana Israel telah memusnahkan sekolah bola sepak, termasuk Akademi Al-Wahda dan Akademi Juara, yang "merupakan antara projek bola sepak yang paling berpotensi" di Gaza.

Beliau menegaskan bagaimana Israel telah memusnahkan bakat dalam bola sepak, sukan paling popular dalam kalangan penduduk Gaza, meninggalkan hanya satu stadium, Stadium Al-Dorra, yang masih utuh daripada 10 enklaf itu.

Pasukan Israel telah merampas stadium di Gaza dan mengubahnya menjadi pusat tahanan.

Pemantau hak asasi manusia Euro-Med menekankan bahawa tentera Israel telah mengubah Stadium Yarmouk di Bandar Gaza menjadi pusat tahanan "untuk menahan dan mengaibkan ratusan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, yang ditunjukkan bogel dan dilucutkan pakaian mereka dalam rakaman yang diterbitkan oleh media Israel pada Disember 2023."

Laporan oleh kumpulan yang diterbitkan pada bulan Mei menunjukkan bahawa kemudahan yang telah dirobohkan dan dimusnahkan termasuk "300 gelanggang lima sebelah, 22 gelanggang renang, 12 dewan sukan tertutup untuk bola keranjang, bola tampar dan bola baling dan enam stadium tenis.

"Dua puluh lapan pusat sukan dan kecergasan telah disasarkan, rosak dan musnah."

 

 

Kematian Atlet Terkemuka

 

Serangan Israel juga telah menyebabkan kematian pemain terkemuka di Gaza, termasuk juara kejohanan.

Ini termasuk atlet Olimpik dan pembawa bendera pertama Palestin, Majed Abu Maraheel, yang meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang di kem pelarian pada Jun.

Pelari jarak jauh Olimpik berusia 61 tahun itu meninggal dunia akibat sekatan berterusan Israel terhadap bantuan kemanusiaan menyebabkan ramai, termasuk Maraheel, kekurangan rawatan perubatan dan kemudahan.

Maraheel bertanding dalam acara 10,000 meter lelaki di Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Pada Januari, jurulatih pasukan bola sepak Olimpik Palestin, Hani Al-Mossader, terbunuh dalam serangan udara Israel.

Bulan yang sama, Nagham Abu Samra, juara karate yang akan menyertai Sukan Olimpik Paris, meninggal dunia di sebuah hospital di Mesir kerana mengalami kecederaan yang parah.

Beliau mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menyebabkan satu daripada kakinya dipotong.

Pemain bola sepak terkemuka Palestin juga terbunuh dalam serangan Israel.

Pada Mac, Mohammed Barakat, 39, yang digelar "legenda Khan Younis," terbunuh dalam serangan yang menyasarkannya di bandar selatan Semenanjung Gaza itu.

Penyerang yang menjaringkan 114 gol, telah bermain untuk beberapa kelab bola sepak termasuk Kelab Belia Khan Younis, yang dipimpinnya. Beliau juga bermain di Tebing Barat yang diduduki dan Jordan, termasuk Al-Wahdat serta Al-Shoalah, sebuah kelab Saudi.

Hazem Al-Ghalban juga terbunuh oleh pengeboman Israel di Khan Younis. Menurut Abed, pemain pertahanan berusia 26 tahun itu menjaringkan tujuh gol dalam kerjayanya dan "menunjukkan prestasi cemerlang bersama pasukannya sebelum 7 Okt, menduduki tempat ketiga dalam liga."

Shadi Abu-Alarraj, penjaga gol terkenal untuk Kelab Belia Khan Younis, terbunuh minggu lepas.

"Malangnya, kematian dalam kalangan atlet terus berlaku,” kata Abed.

 

 

SUKAN OLIMPIK 'APARTHEID' 

 

Dengan berbaki beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, pakar masih mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk mengekalkan Israel dalam pertandingan itu.

"Atlet, sama ada pemain bola sepak...apa pun sukan itu, mereka tidak terlibat dalam puak politik...mereka disasarkan dan adalah sasaran yang tidak sah bagi pasukan Israel dan ini adalah dilarang sama sekali oleh semua undang-undang antarabangsa dan semua peraturan FIFA," kata Abed.

Beliau berhujah bahawa tindakan Israel menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai nilai Olimpik iaitu keamanan, toleransi, pengampunan, kasih sayang dan semangat kesukanan.

"Jadi, bagaimanakah Israel masih boleh menyertai Olimpik?" soal beliau.

Sementara itu, Rusia telah diharamkan daripada temasya Olimpik dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas melancarkan perang terhadap Ukraine pada 2022, kata Abed, yang menegaskan bahawa tindakan Moscow dalam konflik itu adalah ringan berbanding dengan kehancuran yang disebabkan oleh Israel di Gaza.

"Pendirian memalukan” ini tegasnya, "mendedahkan kemunafikan IOC serta badan induk dunia bola sepak."

Penganjur Sukan Olimpik tahun ini berkata keputusan mereka untuk mengekalkan Israel dalam Sukan Olimpik sambil menegakkan larangan ke atas Rusia dan Belarus adalah disebabkan pengambilalihan wilayah Ukraine oleh Moscow, sementara Tel Aviv tidak secara formal merampas wilayah di Gaza.

 

Fadi Quran, pengarah kanan kumpulan hak asasi Avaaz yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), berkata Sukan Olimpik dan kepimpinan IOC semasa akan diingati kerana "menutup mata kepada negara yang melakukan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai genosid dan dikatakan sebagai apartheid."

Beliau merujuk kepada keputusan awal ICJ yang mengiktiraf genosid sebagai risiko yang munasabah di Gaza. Israel dituduh melakukan genosid di mahkamah tertinggi Pertubuhan Banga-Bangsa Bersatu (PBB), yang dalam keputusan terbarunya telah mengarahkan Tel Aviv untuk segera menghentikan operasinya di bandar selatan Rafah, yang lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

Quran menjangkakan bahawa atlet akan membantah kehadiran Israel di temasya Olimpik dan peminat akan memboikot acara yang bendera Israel dikibarkan.

Menurut Abed, ia akan mengambil masa satu dekad untuk menghidupkan semula sukan di Semenanjung Gaza.

"Perang di Gaza telah mengubah segalanya. Perang di Gaza telah membunuh impian ramai."

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan