DUNIA > BERITA

Beg Bimbit Zico Bernilai Us$543,000 Dicuri Dalam Teksi Di Paris

27/07/2024 09:59 AM

ANKARA, 27 Julai (Bernama-Anadolu) -- Legenda bola sepak Brazil, Zico, telah kehilangan beg tangan bernilai €500,000 (kira-kira US$543,000) mengandungi jam tangan Rolex dan berlian, yang dicuri di Paris, menurut laporan harian Perancis pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu (AA).

Le Parisien melaporkan bahawa kecurian itu berlaku di dalam sebuah teksi. Seorang individu didakwa mengalih perhatian pemandu teksi sementara seorang suspek lain mencuri beg tangan Zico.

Arthur Antunes Coimbra, yang lebih dikenali sebagai Zico, berusia 71 tahun, berada di Paris atas jemputan delegasi Brazil untuk menyaksikan Sukan Olimpik 2024, yang secara rasminya bermula dengan upacara pembukaan pada malam Jumaat.

Seorang daripada pemain bola sepak terkemuka generasinya, Zico mewakili Brazil dalam tiga Piala Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) (1978, 1982, dan 1986) tetapi tidak pernah memenangi gelaran dunia.

Zico juga pernah menguruskan kuasa besar bola sepak Turki, Fenerbahce untuk merangkul gelaran liga domestik pada 2007, menandakan musim 100  tahun kelab itu. Di bawah bimbingannya, Fenerbahce mencapai suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) pada 2008.

Awal minggu ini, pasukan bola sepak kebangsaan Argentina juga menjadi sasaran pencuri sebelum perlawanan mereka di Sukan Olimpik Paris.

"Semalam (Selasa), pencuri telah memasuki tempat latihan kami dan kami telah dirompak. Thiago Almada kehilangan barang-barangnya, jam tangan dan perhiasan," kata jurulatih kepala Argentina, Javier Mascherano, yang juga bekas pemain tengah Barcelona dan Argentina, sebelum ini.

Argentina tewas kepada Maghribi 2-1 dalam perlawanan Olimpik Paris 2024 pada Rabu di Stadium Geoffroy-Guichard di Saint-Etienne, berhampiran Lyon.

Almada, pemain tengah Botafogo yang barang-barangnya dicuri, berada di padang semasa perlawanan menentang Maghribi.

BFMTV Perancis melaporkan pada Khamis bahawa barang-barang Almada yang dicuri bernilai €50,000 atau kira-kira US$54,250. Aduan dijangka difailkan tidak lama lagi.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan