DUNIA > BERITA

Turkiye Sasar Jadi Rakan Dialog Asean: Menteri Luar

27/07/2024 10:28 AM

ANKARA, 27 Julai (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan pada Jumaat berkata bahawa Ankara menyasarkan untuk menjadi rakan dialog Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), lapor Agensi Anadolu.

"Matlamat Turkiye adalah untuk menjadi rakan dialog ASEAN.

"Ini akan membolehkan kami mengadakan dialog dan kerjasama yang lebih inklusif dan berstruktur dengan ASEAN," kata Fidan yang berada di Vientiane, ibu negara Laos, untuk mesyuarat keenam Perkongsian Dialog Sektoral Turkiye-ASEAN, yang berlangsung di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57.

Fidan menegaskan bahawa Ankara telah membangunkan agenda dasar dua hala yang merangkumi dialog politik dan kerjasama serantau yang berfokuskan pembangunan dengan rakan kongsi antarabangsanya.

"ASEAN adalah satu daripada rakan kongsi antarabangsa ini," katanya.

Menegaskan bahawa Turkiye menyedari peranan utama ASEAN di rantau Asia-Pasifik dan Lautan Hindi, menteri Turkiye menyatakan: "Kami mahu menggunakan sepenuhnya potensi sedia ada kami dalam kedua-dua bidang kerjasama tradisional dan baharu. Ini adalah masa yang sesuai untuk mempelbagaikan kerjasama kami dan meluaskan skopnya."

--BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan