DUNIA > BERITA

Michelle Yeoh Seru Sokongan Global Untuk Pasukan Olimpik Pelarian

27/07/2024 07:29 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Bintang Hollywood dan pelakon terkenal Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh memberikan sokongan padu kepada Pasukan Olimpik Pelarian, menyeru sokongan global untuk "pasukan yang sangat istimewa" ini yang mewakili lebih 100 juta orang pelarian di seluruh dunia.

Pemenang Oscar itu menekankan usaha luar biasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh para atlet ini semasa mereka bersiap untuk bertanding di Paris.

Dalam video penuh emosi selama 33 saat yang dikongsi di akaun rasmi Sukan Olimpik dan akaun Instagram peribadinya pada Jumaat, Yeoh menyeru sokongan orang ramai terhadap  atlet-atlet  pelarian.

“Mereka telah berjuang dengan lebih gigih dan melakukan perjalanan lebih jauh untuk sampai ke Paris.

“Mereka adalah Pasukan Olimpik Pelarian. Sila sokong mereka dengan sepenuh hati. Apabila anda melihat mereka, tunjukkan sokongan anda dengan berkongsi hati anda dengan mereka,” katanya.

Yeoh, yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Yayasan Pelarian Olimpik, dikenali atas advokasi beliau dalam isu-isu kemanusiaan, menekankan kepentingan lebih luas penyertaan pasukan itu.

“Bersama-sama, pasukan ini mewakili lebih 100 juta pelarian di seluruh dunia. Mari kita sokong mereka dengan penuh semangat dan bangga,” katanya.

Dalam satu lagi hantaran di akaun Instagramnya, Yeoh memuat naik foto dirinya bersama beberapa atlet daripada pasukan pelarian.

“Ketahanan, semangat, tekad dan bakat mereka amat menginspirasikan,” tulisnya.

Yeoh menjadi orang Asia pertama memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Oscar 2023 menerusi peranannya dalam filem hit “Everything Everywhere All at Once”.

Pada Mei, Yeoh juga telah menerima Pingat Kebebasan Presiden yang berprestij daripada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan