DUNIA > BERITA

Operasi Lapangan Terbang Beirut Dihentikan Susulan Peningkatan Ancaman Israel

29/07/2024 12:02 PM

ISTANBUL, 29 Julai (Bernama-Anadolu) -- Semua pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri Beirut ditangguhkan atau dibatalkan susulan kemungkinan serangan Israel ke atas Lubnan.

 Agensi Anadolu melaporkan penerbangan dari petang 28 Julai dan seterusnya telah digantung, memetik paparan maklumat pelepasan dan ketibaan di lapangan terbang itu pada Ahad.

Maklumat penerbangan di laman sesawang lapangan terbang memaparkan semua penerbangan dari Beirut ke pelbagai destinasi di seluruh dunia dan sebaliknya "dibatalkan" atau "ditangguhkan."

Pembatalan dan penangguhan dijangka berterusan sehingga pagi Isnin.

Middle East Airlines (MEA) sebelum ini mengumumkan bahawa beberapa penerbangan yang dijadual berlepas dari Beirut akan ditangguhkan sehingga pagi 29 Julai.

MEA adalah syarikat penerbangan kebangsaan Lubanan yang mengendalikan penerbangan ke pelbagai destinasi di Asia Barat, Eropah, Afrika dan seterusnya.

Terdahulu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis mengeluarkan nasihat perjalanan kepada warganegara mereka agar tidak melakukan perjalanan ke Lubnan, susulan kemungkinan gangguan terhadap perkhidmatan udara akibat ketegangan serantau yang semakin meningkat.

Ketegangan semakin meningkat selepas tentera Israel pada Ahad membentangkan senario kepada kerajaannya mengenai kemungkinan serangan ke atas kumpulan Hezbollah berikutan serangan roket yang membunuh 12 orang di Bukit Golan yang diduduki Israel, menurut laporan media antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan