DUNIA > BERITA

PM Vanuatu Sanjung Kemajuan Besar Dicapai China

29/07/2024 02:21 PM

BEIJING, 29 Julai (Bernama-CMG) -- Perdana Menteri Vanuatu, Charlot Salwai menyatakan beliau sangat kagum melihat perubahan dan kemajuan besar dicapai China, terutamanya dari aspek inovasi.

Salwai membuat pujian itu ketika ditemu bual eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) mutakhir ini, semasa lawatan rasmi kali keduanya ke China.

Beliau menyifatkan usaha China untuk melindungi dan melestarikan warisan budaya sebagai amat impresif.

Untuk rekod, Vanuatu digugurkan daripada senarai negara-negara paling kurang maju di dunia  dan menjadi negara membangun pada 2020.

Salwai menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan atas bantuan serta sumbangan disalurkan China.

Beliau berkata China bukan hanya membantu Vanuatu membina pelabuhan dan jalan raya, malah menghulurkan sokongan tatkala bencana berlaku, sambil memberikan bantuan perubatan kepada sekolah dan komuniti setempat.

Hubungan China-Vanuatu berkembang lancar sejak terjalinnya ikatan diplomatik antara kedua-dua negara pada 1982.

Semasa lawatan Salwai ke Beijing kali ini, pemimpin kedua-dua negara memutuskan untuk menaik taraf perkongsian strategik komprehensif dan membina komuniti berkongsi nasib bersama China-Vanuatu pada era baharu.

Lebuh raya Pulau Malekula yang dibina oleh syarikat China disifatkan sebagai "Jalan Sinar Harapan" dan "Jalan Masa Depan" oleh penduduk tempatan.

Salwai memuji jalan tersebut telah membawa perubahan yang cukup besar kepada kehidupan rakyat negaranya.

"Anda boleh melihat keadaan jalan raya sebelumnya. Apabila cuaca buruk, kami tidak dapat pergi ke kawasan luar bandar dan tiada alat pengangkutan untuk menyeberangi sungai, kami tidak dapat melalui jalan-jalan berceranggah."

"Namun, buat masa ini, kami boleh sampai ke pusat pulau dalam hanya beberapa minit sahaja. Ini mustahil dilakukan sebelum ini, jadi jalan ini telah membawa perubahan amat besar bagi kehidupan orang awam," kata beliau.

Vanuatu merupakan negara daripada kumpulan pertama yang terlibat dalam pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) diajukan China.

Dalam rangka kerja ini, China dan Vanuatu telah bekerjasama dalam pembinaan prasarana tempatan termasuk stadium negara dan sekolah.

Kini, bangunan-bangunan yang dibina melalui projek kerjasama itu menjadi bangunan ikonik di Vanuatu, malah di rantau Pastifik Selatan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan