DUNIA > BERITA

Malaysia Tegas Pertahan Kedaulatan Sabah Dan Kepentingan Negara

29/07/2024 08:15 PM

PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian penting daripada negara dan memastikan agar kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara sentiasa dilindungi pada setiap masa.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Isnin menegaskan pendirian kerajaan bahawa Sabah sentiasa merupakan sebahagian penting daripada Malaysia.

“Malaysia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf mana-mana tuntutan ke atas Sabah.

“Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata rakyat Sabah telah melaksanakan hak penentuan nasib sendiri berhubung pembentukan Malaysia menerusi Suruhanjaya Cobbold pada 1962.

Menurut Wisma Putra, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan video di media sosial yang mengandungi kandungan tidak berasas dan mengelirukan yang mempertikaikan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia.

“Kementerian ini sedang menjalankan siasatan secara mendalam dengan kerjasama Kementerian serta Agensi berkenaan berhubung perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan