DUNIA > BERITA

Tentera Israel Lancar Serangan Artileri Ke Atas Gaza, Sasar Bangunan Kediaman

30/07/2024 12:30 AM

GAZA CITY, Palestin, 29 Julai (Bernama-Anadolu) -- Tentera Israel mempergiatkan pengeboman artilerinya di pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Saksi memberitahu Anadolu bahawa pasukan Israel meneruskan hari kelima berturut-turut serangan mereka ke pinggir barat daya Bandar Gaza, terutamanya di kejiranan Tel al-Hawa dan Sabra.

Pasukan penyerang itu melepaskan tembakan dengan mesingan ke arah bangunan kediaman, menjalankan operasi pencarian dan pemeriksaan yang melibatkan letupan dan pembakaran beberapa struktur kediaman, kata saksi itu.

Kawasan kejiranan selatan Bandar Gaza, termasuk Sabra, Zeitoun, Tel al-Hawa dan Sheikh Ajleen, terdedah kepada serangan artileri berat, tambah mereka.

Sementara itu, jurucakap Pertahanan Awam Gaza Mahmoud Basal berkata: “Pasukan pendudukan Israel dan kenderaan mereka masih kekal di kawasan Tel al-Hawa, khususnya berhampiran Hospital Jordan. Mereka terus membakar rumah, menculik orang awam dan melakukan pembunuhan.”

“Tiga syahid ditemukan dari kawasan kejiranan Sabra selepas disasarkan oleh artileri Israel beberapa hari yang lepas,” tambah Basal.

Di tengah Gaza, serangan udara dan artileri Israel menyasarkan kem pelarian al-Bureij, mengakibatkan pemusnahan satu blok kediaman.

Kawasan barat laut kem pelarian Nuseirat, bandar Al-Musaddar dan timur laut bandar Deir al-Balah di wilayah tengah juga mengalami pengeboman artileri yang sengit.

Di selatan Gaza, kenderaan tentera Israel membuat serbuan terhad di timur Khan Younis. Saksi melaporkan tembakan artileri berat dan tembakan sengit.

Dron Israel melepaskan tembakan tanpa henti dan menjatuhkan bom di timur Khan Younis. Pada masa yang sama artileri Israel menyasarkan kejiranan Sheikh Nasser, Bani Suheila dan Khuzaa.

Selain itu tentera Israel turut meruntuhkan bangunan kediaman di bandar Al-Qarara, timur laut Khan Younis, di tengah-tengah pertempuran antara pejuang penentang Palestin dan pasukan Israel yang beroperasi di kawasan itu.

Melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menuntut gencatan senjata segera, Israel menghadapi kecaman antarabangsa kerana meneruskan serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak serangan 7 Okt.

Lebih 39,300 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 90,800 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan