DUNIA > BERITA

FDA AS Luluskan Ujian Darah Baharu Bagi Saringan Kanser Kolon

30/07/2024 10:19 AM

NEW YORK, 30 Julai (Bernama-Xinhua) -- Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada Isnin meluluskan ujian darah baharu untuk mengesan kanser kolon, lapor Agensi Berita Xinhua.

Syarikat bioteknologi yang berpangkalan di California, Guardant Health memaklumkan bahawa ujian yang dinamakan 'Shield' diluluskan untuk saringan dalam kalangan dewasa berumur 45 tahun ke atas yang berisiko menghidap kanser kolorektum.

Syarikat itu merancang untuk melancarkan produk ini dalam masa terdekat.

Kajian yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine menunjukkan bahawa Shield berkesan 83 peratus dalam mengesan kanser kolorektum.

Pakar juga menegaskan bahawa ujian baharu ini bukan pengganti kolonoskopi, tetapi menyediakan pendekatan saringan yang bukan invasif.

"Kolonoskopi masih dianggap sebagai piawaian emas untuk saringan, terutamanya bagi pertumbuhan prakanser," menurut pakar kesihatan.

Kanser kolorektum adalah penyebab kematian kanser kedua tertinggi di Amerika Syarikat, tetapi kebanyakan kes boleh dicegah dengan peningkatan saringan.

Persatuan Kanser Amerika menganggarkan lebih 150,000 orang di negara ini akan didiagnosis dengan kanser kolorektum pada 2024.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan