DUNIA > BERITA

Pesta Malaysia 2024 Di Belanda Cipta Kejayaan Gemilang

30/07/2024 04:22 PM

LEIDSCHENDAM (Belanda), 30 Julai (Bernama) -- Warna-warni ceria, aroma memikat dan irama mengasyikkan dari Malaysia dipamerkan dengan penuh gemilang di Pesta Malaysia (Malaysia Fair) 2024 yang diadakan di Westfield Mall of the Netherlands pada 27 hingga 28 Julai.

Pesta ini yang pertama seumpamanya oleh Malaysia di Belanda, bertujuan memperkenalkan kepada warga Belanda kepelbagaian budaya Malaysia, produk makanan, pelancongan, serta inisiatif MAHA (Malaysia Agriculture, Horticulture, and Agrotourism Show) Go Global 2024.

Objektif utamanya adalah untuk meningkatkan profil Malaysia di Belanda, mempromosikan pelbagai produk dan memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara, menurut Kedutaan Malaysia di The Hague dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pesta Malaysia 2024 dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di The Hague dengan sokongan kukuh daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (MAFS), Tourism Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ia dilancarkan secara rasmi oleh Duta Besar Malaysia ke Belanda, Roseli Abdul.

Majlis perasmian turut dihadiri tetamu kehormat termasuk Duta Besar serta diplomat dari kedutaan negara-negara anggota ASEAN yang berpusat di The Hague, pegawai kerajaan Belanda dan wakil dari pelbagai industri seperti halal, pelancongan dan penerbitan.

Para pengunjung dapat menikmati makanan Malaysia dengan gerai-gerai yang menawarkan pelbagai hidangan ikonik seperti nasi lemak, sate, teh tarik, roti jala, karipap dan kuih-muih.

Mereka juga berpeluang membeli buah-buahan seperti durian Musang King, nangka madu, rambutan, buah naga dan belimbing di gerai MAFS.

Selain itu, gerai Syarikat Aqina Holdings Sdn. Bhd, KULIM (Malaysia) Berhad, 3BUMI Trading Sdn.Bhd, dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyediakan sampel nanas segar MD2 serta produk-produk makanan dari Malaysia yang menarik para pengunjung untuk meneroka citarasa baru.

Gerai Tourism Malaysia menjadi tumpuan, menyediakan maklumat menyeluruh tentang destinasi pelancongan menarik dengan kerjasama TUI Nederland, sebuah syarikat pelancongan terkenal Belanda.

Kekayaan budaya Malaysia turut dipamerkan dengan persembahan tarian tradisional seperti Joget Pahang dan Joget Songket, memukau pengunjung dan memberikan mereka gambaran tentang warisan Malaysia.

Pameran ini juga memperkenalkan inisiatif MAHA Go Global 2024 yang direka untuk meningkatkan pengembangan perniagaan, eksport dan inovasi dalam sektor pertanian dan hortikultur di peringkat antarabangsa.

MAHA 2024 bakal berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, Selangor pada 11 hingga 22 Sept 2024 dan dijangka disertai lebih 50 pempamer dari seluruh dunia.

“Pameran ini juga berfungsi sebagai tempat pertemuan bagi diaspora Malaysia di Belanda, yang menikmati peluang untuk merasai makanan popular Malaysia dan menikmati persembahan budaya.

“Acara ini memupuk semangat kekitaan di kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di Belanda dan mewujudkan suasana seolah berada di Malaysia walaupun jauh dari tanahair tercinta,” menurut Kedutaan.

Pesta Malaysia 2024 mendapat sambutan positif dan berjaya mencapai matlamatnya.

“Secara keseluruhannya, Pesta Malaysia 2024 adalah satu kejayaan yang besar. Ia merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Malaysia untuk mempromosikan budaya, produk makanan, minuman serta buah-buahan dan pelancongan Malaysia di peringkat global.

“Acara ini bukan sahaja memupuk hubungan perniagaan di peringkat antarabangsa tetapi juga meraikan warisan budaya yang kaya di Malaysia dan meninggalkan kesan yang positif dalam sanubari kepada semua yang hadir,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan