DUNIA > BERITA

Johari Wakili Malaysia Ke Majlis Angkat Sumpah Presiden Iran

30/07/2024 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mewakili Malaysia ke Majlis Mengangkat Sumpah Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian, di Parlimen Iran di Tehran pada Selasa.

Menurut kenyataan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikeluarkan pada Selasa, kehadiran Johari ke majlis itu adalah sebahagian daripada program beliau yang kini sedang mengadakan lawatan rasmi ke Tehran.

Majlis mengangkat sumpah rasmi Pezeshkian sebagai Presiden Iran akan dilakukan di hadapan Ketua Mahkamah Agung Iran, ahli Majlis Penjaga dan Ketua Badan Kehakiman Iran pada Selasa.

Kenyataan itu menyebut Johari turut mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya Mohammad Bagher Ghalibaf di Parlimen Iran sempena rangka lawatan itu untuk membincangkan pengukuhan kerjasama antara parlimen.

“Pertemuan antara dua pemimpin itu menandai langkah signifikan ke arah memperluas hubungan dua hala dan meneroka peluang baharu untuk kerjasama dalam pelbagai sektor,” menurut kenyataan itu.

Johari, menurut kenyataan itu, telah menyatakan hasrat beliau untuk memperluas kerjasama Malaysia dan Iran pada tahun-tahun mendatang dalam pelbagai bidang agar menjadi penyumbang yang penting kepada perdagangan serantau melalui pengukuhan sektor logistik serta infrastruktur rantaian bekalan untuk ekonomi yang makmur dan mampan.

Pada pertemuan itu, Johari berkata ASEAN, yang terdiri daripada penduduk seramai 680 juta orang dengan 61 peratus daripadanya berumur bawah 35 tahun serta pengguna teknologi digital, mampu membuka akses kepada pasaran pengguna yang besar untuk Iran.

“ASEAN juga kini sedang meniti landasan yang berpotensi tinggi untuk menjadi ekonomi dunia yang besar menjelang 2030 melalui kekuatan demografinya serta usaha inovasi ASEAN yang tertumpu ke arah mencapai pembangunan mampan, meningkatkan kemudahan perdagangan dan pertukaran bakat merentas rantau itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Ghalibaf dalam pertemuan itu pula telah menzahirkan harapan agar Parlimen Iran dan Malaysia pada lembaran sejarah kerajaan baharu Iran akan terus mengembangkan kesinambungan persahabatan serta kerjasama yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak 1970.

Ghalibaf telah menyatakan kesediaan untuk mencapai matlamat itu untuk manfaat bersama khususnya dalam ketersambungan logistik, perdagangan dan ekonomi.

“Ghalibaf juga telah menyatakan komitmen Iran untuk meneroka kerjasama dan perkongsian baharu dengan ASEAN menjelang kepengerusian Parlimen Malaysia dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada 2025 kelak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan