DUNIA > BERITA

Buku Taman KLCC Dan Kepentingannya Dalam Hubungan Malaysia-Brazil Dilancarkan

31/07/2024 10:01 PM

Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sempena ulang tahun ke-25 Menara Berkembar Petronas pada 31 Ogos ini, tidak banyak yang diketahui mengenai taman ikonik bersebelahan dengannya dan peranan pentingnya dalam hubungan antara Malaysia dan Brazil.

Duta Besar Brazil ke Malaysia, Ary Norton de Murat Quintella berkata Taman KLCC direka oleh arkitek landskap paling terkenal di Brazil, mendiang Roberto Burle Marx (1909-1994), yang merupakan satu-satunya projek beliau di Asia dan mungkin karyanya yang terakhir.

Taman KLCC disiapkan dan dibuka pada 1998 selepas pemergian beliau.

Bercakap pada majlis pelancaran buku - A Brazilian in Kuala Lumpur: The KLCC Park and Roberto Burle Marx - di Malaysian Petroleum Club di sini pada Rabu, Quintella berkata taman itu melambangkan persamaan yang menyatukan Brazil dan Malaysia walaupun terdapat jarak geografi dan sebagai lambang potensi yang terkandung dalam gabungan bakat dan usaha rakyat dari kedua-dua negara.

"Taman KLCC adalah penghubung yang nyata antara Brazil dan Malaysia," katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Menurut Quintella bagi menghormati legasi Burle Marx, yang tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 kematian mendiang, kedutaan Brazil di Malaysia menerbitkan 500 salinan buku itu dengan dana daripada Kementerian Luar Negeri Brazil.

Buku itu memuatkan empat teks, termasuk satu oleh Quintella, dua oleh bekas rakan usaha sama Burle Marx di Malaysia dan kira-kira 100 imej yang tidak pernah diterbitkan sebelum ini, antaranya lakaran Taman KLCC dan nota yang mengandungi idea utama yang membimbing projek itu, semuanya disediakan oleh Institut Burle Marx.

Buku itu yang tidak dijual, telah diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan di Malaysia dan Brazil.

Mengulas mengenai hubungan Malaysia-Brazil, Quintella berkata hubungan dua hala kini dipelbagaikan dan dialog kukuh telah terjalin dalam bidang semikonduktor, alam sekitar dan perubahan iklim, kesihatan dan tenaga.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melawat Brazil pada November ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Holdings Sdn Bhd, Datuk Md Shah Mahmood dalam ucapannya berkata Taman KLCC, yang lebih daripada sekadar khazanah botani, menempatkan lebih 1,700 pokok, termasuk yang berusia lebih 100 tahun dan diiktiraf sebagai satu daripada lima taman bandar terbaik dunia pada 2020.

Beliau berkata penerbitan yang memberikan maklumat terperinci tentang taman itu menunjukkan pencapaian penting dalam diplomasi budaya dan literatur itu berfungsi sebagai bukti dedikasi Quintella untuk mempromosikan pemahaman dan penghargaan terhadap seni serta nilai kelestarian dan keindahan dalam ruang bandar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan