DUNIA > BERITA

Hubungan Baik Malaysia, Maghribi Harus Ditingkatkan - Kuasa Usaha

01/08/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Hubungan dua hala antara Malaysia dan Maghribi sangat baik di peringkat politik, ekonomi dan budaya yang didorong oleh sikap saling menghormati, kata Kuasa Usaha Kedutaan Maghribi di Malaysia, Mohammed Saidi.

Beliau berkata memandangkan kedua-dua negara mempunyai aset dan kapasiti yang besar, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan hubungan itu agar merangkumi lebih banyak bidang dengan tekad yang lebih kuat untuk mencapai objektif mereka.

“Keyakinan saya ialah jarak geografi tidak seharusnya menghalang percubaan kita untuk berbuat demikian, selagi ada kemahuan politik untuk membuka ufuk baharu dalam hubungan dua hala kita telah dinyatakan secara terbuka oleh pegawai kedua-dua negara pada beberapa kesempatan,” kata Saidi.

Beliau membuat kenyataan itu semasa majlis resepsi ulang tahun ke-25 Penabalan Raja Maghribi, Raja Mohammed VI yang diadakan di sini pada Selasa.

Saidi juga menyatakan keyakinan terhadap hubungan dua hala Malaysia-Maghribi yang lebih kukuh, terutamanya di bawah kepimpinan ASEAN yang diterajui oleh Malaysia sebagai pengerusi tahun depan, di mana Maghribi menikmati status Rakan Dialog Sektoral (SDP).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili kerajaan Malaysia di majlis resepsi itu.

Tetamu kehormat lain yang hadir termasuk Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah, Tunku Mariam Sultan Iskandar Al-Haj dan Tunku Puteri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar.

Dalam laporan terdahulu, Bernama menyatakan bahawa Malaysia dan Maghribi menjalin hubungan diplomatik pada 1963, dengan Kedutaan Malaysia di Rabat ditubuhkan pada 1966.

Kedutaan itu pada awalnya ditubuhkan dengan diketuai oleh Kuasa Usaha sebelum dinaik taraf ke peringkat Duta pada 1989. Maghribi menubuhkan kedutaannya di Kuala Lumpur pada tahun 1988.

Menurut Observatory of Economic Complexity (OEC) di laman sesawangnya https://oec.world dalam tempoh lima tahun lepas, eksport Maghribi ke Malaysia telah meningkat pada kadar tahunan sebanyak 90.4 peratus kepada US$25.3 juta pada 2022 daripada US$1.01 juta pada tahun 2017.

Sementara itu, eksport Malaysia ke Maghribi telah meningkat pada kadar tahunan 33 peratus kepada US$109 juta pada 2022 daripada US$26.3 juta pada  2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan