DUNIA > BERITA

AS, EU Adakan Perbincangan Untuk Elakkan Konflik Berskala Besar Selepas Kematian Haniyeh - Laporan

01/08/2024 06:25 PM

MOSCOW, 1 Ogos (Bernama Sputnik) - Para diplomat Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sedang mengadakan perbincangan segera untuk mengelakkan ancaman peperangan berskala penuh di Timur Tengah selepas pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, di Tehran, lapor Sputnik yang memetik laporan dari Financial Times yang menyebut sumber-sumber.

Timbalan Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Politik EU, Enrique Mora mengadakan perundingan dengan pegawai-pegawai di Tehran pada Rabu, manakala Penyelaras Rumah Putih bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Brett McGurk, mengadakan perbincangan di Arab Saudi, menurut laporan itu.

Perbincangan itu bertujuan untuk memujuk Tehran sama ada tidak bertindak balas terhadap Israel atau mengambil tindakan simbolik, menurut laporan itu pada Rabu.

Seorang diplomat Barat, yang dipetik oleh akhbar itu, berkata: "Semua orang telah memberi tekanan kepada Tehran sejak malam tadi untuk tidak bertindak balas dan untuk mengawal situasi ini."

Pada Rabu, Hamas mengesahkan bahawa Haniyeh telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas tempat penginapannya di Tehran selepas beliau menghadiri upacara angkat sumpah Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.

Pergerakan itu menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat atas kematian Haniyeh dan berkata serangan itu tidak akan dibiarkan tanpa balasan.

-- BERNAMA-Sputnik 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan