DUNIA > BERITA

Putin Mahu Hubungan Lebih Rapat Dengan Indonesia Pada Pertemuan Dengan Prabowo

01/08/2024 09:03 PM

MOSCOW, 1 Ogos (Bernama-dpa) -- Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu presiden terpilih Indonesia Prabowo Subianto di Moscow untuk perbincangan mengenai perluasan hubungan antara kedua-dua negara. 

Walaupun sekatan Barat terhadap Rusia, perdagangan antara kedua-dua negara telah meningkat dua kali ganda, kata Putin. Perjanjian perdagangan bebas antara Indonesia dan Kesatuan Ekonomi Eurasia yang diketuai oleh Rusia, yang sedia untuk ditandatangani, memberi harapan untuk pertumbuhan selanjutnya, katanya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut terjemahan itu, Prabowo mengalu-alukan syarikat penerbangan negara itu, Aeroflot merancang penerbangan terus ke pulau percutian Bali, yang popular dalam kalangan warga Rusia. 

Beliau juga menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan syarikat nuklear Rusia Rosatom. "Kami telah bercakap tentang modul kecil dan juga tentang reaktor besar," katanya.

Prabowo yang merupakan Menteri pertahanan Indonesia, adalah bekas menantu kepada bekas presiden Suharto, dipilih pada Februari dan dijadualkan memegang jawatan pada Oktober. 

Presiden terpilih itu juga bertemu Menteri Pertahanan Rusia Andrey Belousov untuk membincangkan kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara, yang sudah menjalankan gerakan dan latihan bersama. 

Rusia menjemput Indonesia ke perarakan tentera laut seterusnya di St Petersburg pada Julai tahun depan. Indonesia pula menjangkakan pembabitan syarikat pertahanan Rusia pada pameran senjata pada bulan November. 

Presiden Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, yang masih memegang jawatan, merupakan tetamu Putin pada Jun 2022, hanya beberapa bulan selepas bermulanya perang Rusia menentang Ukraine. Rusia merupakan pembekal bijirin penting kepada Indonesia.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan