DUNIA > BERITA

Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di Namibia Tingkatkan Kesedaran Tentang ASEAN

02/08/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia telah menganjurkan Program Kesedaran Mengenai ASEAN dan Peranan Malaysia pada Khamis di Universiti Pengurusan Antarabangsa Namibia (IUM).

Menurut kenyataan daripada Suruhanjaya Tinggi, program itu bertujuan mendidik dan memaklumkan rakyat Namibia tentang ASEAN, latar belakang sejarahnya, perkembangan setakat ini, kepentingan kumpulan serantau dalam politik antarabangsa dan peranan Malaysia, terutamanya sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya menyampaikan ceramah tentang ASEAN, lambang, negara anggota, sejarah, pengasas, Komuniti ASEAN, perkembangan ASEAN sejak penubuhannya pada 1967 serta gambaran umum tentang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan keutamaannya.

“Ceramah kesedaran yang disampaikan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ini telah membantu memaklumkan rakyat Namibia tentang ASEAN dan mungkin membantu Namibia mencontohi usaha serantau bersama sedemikian dalam membangunkan politik, ekonomi dan sosialnya, terutamanya dengan negara-negara di rantau selatan Afrika,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semasa sesi soal jawab, soalan yang dibangkitkan kebanyakannya berkaitan perbandingan antara ASEAN dengan Kesatuan Afrika atau Komuniti Pembangunan Selatan Afrika (SADC) yang dianggotai Namibia. 

Soalan juga dibangkitkan mengenai bagaimana ASEAN terbentuk dan jika ada persamaan dengan Kesatuan Eropah serta sama ada terdapat kesatuan monetari seperti penciptaan satu mata wang ASEAN, katanya.

Suruhanjaya Tinggi berkata minat yang mendalam daripada kalangan pelajar memang dijangkakan  kerana ramai rakyat Namibia masih tidak mengetahui tentang ASEAN, negara anggota dan peranannya dalam senario geopolitik.

 Program yang dihadiri oleh 100 orang, termasuk pelajar, pensyarah, dan pensyarah kanan daripada Fakulti Pengajian Strategik dan Pengurusan, diadakan dengan kerjasama IUM Namibia, katanya.

Dekan Pengajian Strategik dan Pentadbiran Perniagaan, Dr Djaba dalam ucapannya mengalu-alukan usaha sedemikian oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek untuk memberikan pendedahan  kepada   rakyat Namibia terutamanya pelajar IUM tentang ASEAN dan juga peranan Malaysia dalam ASEAN terutamanya dengan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

Acara berakhir dengan tetamu dijamu dengan hidangan Malaysia yang disediakan oleh Perwakilan Wanita Windhoek yang diketuai oleh Datin Noorzulaikha Rameez seperti nasi carrot, sambal ayam, sambal udang, sayur campur, jemput-jemput pisang, popiah daging cincang, sirap ais limau, aiskrim mini Magnum Classic dan limau narajie antara lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan