DUNIA > BERITA

Langkah Keselamatan Ketat Dilaksanakan Untuk Pengebumian Haniyeh Di Doha

02/08/2024 11:37 PM

DOHA (Qatar), 2 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa Qatar melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang ketat pada Jumaat untuk memastikan keselamatan prosiding pengebumian Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas, yang dibunuh di ibu kota Iran, Tehran.

Barisan panjang dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha pada waktu malam ketika orang ramai mula berkumpul untuk menghadiri pengebumian itu  yang akan dihadiri oleh pemimpin dan pegawai dari banyak negara, lapor Agensi Anadolu.

Beberapa jalan utama dan jalan samping di Doha telah ditutup kepada lalu lintas, dengan polis melaksanakan langkah keselamatan yang ketat, terutamanya di sekitar Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab, di mana solat jenazah akan diadakan selepas solat Jumaat, menurut seorang wartawan Anadolu.

Kawasan sekitar masjid juga menyaksikan kehadiran ketara wartawan dari media tempatan dan antarabangsa untuk membuat liputan pengebumian itu.

Haniyeh dibunuh pada Rabu di ibu kota Iran. Walaupun Hamas dan Iran menyalahkan Israel atas pembunuhan itu, Tel Aviv tidak mengesahkan atau menafikan ia bertanggungjawab.

Pembunuhan itu berlaku sehari selepas Komander Hizbullah, Fuad Shukr dibunuh dalam serangan udara Israel di pinggir bandar selatan Beirut.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan