DUNIA > BERITA

PM Anwar, Srettha Lawat Projek Naik Taraf Jambatan Rantau Panjang-sungai Golok Sabtu Ini

03/08/2024 12:00 AM

 

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin akan melakukan lawatan kerja ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Malaysia pada Sabtu ini untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata projek itu adalah salah satu inisiatif utama dalam kesalinghubungan sempadan antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan isu-isu utama dua hala, termasuk isu persempadanan Malaysia-Thailand, inisiatif kesalinghubungan untuk memajukan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan dan Proses Dialog Damai Selatan Thailand,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, lawatan ini membina momentum daripada penglibatan terdahulu kedua-dua pemimpin di Sadao, Thailand pada November tahun lepas dan sekali lagi menegaskan komitmen Malaysia dan Thailand untuk menggalakkan hubungan antara rakyat serta meningkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang kawasan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Pada tahun 2023, Thailand adalah rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan