DUNIA > BERITA

Israel Tahan Imam Masjid Al-Aqsa

03/08/2024 10:39 AM

ANKARA, 3 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Polis Israel pada Jumaat menahan imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri kerana berkabung atas kematian ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh, lapor Agensi Anadolu.

Hamas dan Iran menuduh Israel bertanggungjawab atas pembunuhan Haniyeh pada Rabu, tetapi Tel Aviv belum mengesahkan atau menafikan keterlibatannya.

Saksi mendakwa polis Israel menyerbu rumah Imam itu di Baitulmaqdis Timur dan menahannya, lapor Agensi Anadolu.

Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, Sabri mengetuai solat jenazah ghaib untuk Haniyeh.

"Penduduk Baitulmaqdis dan sekitarnya dari mimbar Masjid Al-Aqsa yang diberkati berkabung atas syahidnya Ismail Haniyeh," katanya dalam khutbah.

Selepas khutbah, polis Israel menjalankan siasatan sama ada kenyataan itu merupakan "hasutan" dan akan bertindak sewajarnya.

Imam berusia 85 tahun itu pernah ditahan beberapa kali oleh tentera Israel dan dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama beberapa bulan.

Sabri adalah pengkritik tegar terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin yang berlanjutan selama beberapa dekad.

Beliau pernah memegang jawatan mufti Baitulmaqdis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan