DUNIA > BERITA

Death Valley AS Catat Bulan Terpanas Pernah Direkodkan Pada Julai

03/08/2024 03:56 PM

LOS ANGELES, 3 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Death Valley, antara lokasi paling panas di dunia mengalami bulan paling panas pernah direkodkan pada Julai, dengan suhu purata harian mencecah 108.5 darjah Fahrenheit (42.5 darjah Celsius), menurut pegawai Taman Negara Death Valley AS pada Jumaat, lapor Xinhua.

Pegawai taman berkata rekod baharu ini mengatasi rekod sebelumnya iaitu 108.1 darjah Fahrenheit (42.3 darjah Celsius) yang dicatatkan pada 2018.

Suhu tinggi purata sepanjang bulan ini adalah 121.9 darjah Fahrenheit (49.9 darjah Celsius).

Taman ini mengalami cuaca panas melampau selama sembilan hari dengan suhu mencapai atau melebihi 125 darjah Fahrenheit (51.7 darjah Celsius) dan hanya tujuh hari suhu di bawah bacaan 120 darjah Fahrenheit (48.9 darjah Celsius).

Suhu tertinggi dicatatkan pada 7 Julai apabila stesen cuaca di kawasan Furnace Creek taman itu mencatat bacaan 129.2 darjah Fahrenheit (54 darjah Celsius), menurut kenyataan itu.

Pegawai taman menjelaskan bahawa suhu rendah pada purata 95.2 darjah Fahrenheit (35.1 darjah Celsius).

"Kami baru sahaja mengalami bulan paling panas dalam sejarah di tempat paling panas di Bumi," kata Mike Reynolds, penyelia Taman Negara Death Valley.

 "Enam daripada 10 musim panas paling panas berlaku dalam 10 tahun lepas."

"Bulan-bulan terpanas yang pernah direkodkan seperti ini mungkin menjadi kebiasaan apabila suhu global terus meningkat," katanya.

Renjer Taman Negara Death Valley bertindak balas terhadap pelbagai insiden berkaitan cuaca panas yang mengancam nyawa pada Julai, termasuk satu kes kematian.

Death Valley yang terletak di antara negeri California dan Nevada di AS adalah tempat paling panas dan paling kering di negara itu, menurut Perkhidmatan Taman Negara AS.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan