DUNIA > BERITA

Jepun Terus Rekod Suhu Tinggi Di Tengah Gelombang Haba Melampau

04/08/2024 12:02 PM

TOKYO, 4 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Gelombang haba di Jepun terus berlanjutan tanpa tanda-tanda reda, dengan suhu di Kyushu hampir mencecah 40 darjah Celsius pada Ahad, lapor Xinhua memetik ramalan cuaca.

Kawasan di barat dan timur Jepun dijangka mengalami suhu melebihi 35 darjah Celsius sepanjang hari, menyebabkan amaran strok haba dikeluarkan di 37 wilayah.

Dengan cuaca panas yang berterusan hingga malam, suhu pada waktu siang Ahad diramalkan mencapai tahap berbahaya.

Di Kurume, Fukuoka, suhu dijangka mencapai maksimum 39 darjah Celsius manakala di Saga dan Kumamoto, suhu dijangka mencapai 38 darjah Celsius.

Tokyo dijangka mengalami suhu sekitar 35 darjah Celsius.

Sehingga 11 pagi waktu tempatan pada Ahad, indeks tekanan haba atau Wet Bulb Globe Temperature (WBGT), mencapai tahap merah di kebanyakan bahagian negara.

Ia mewakili tahap risiko strok haba tertinggi dalam sistem lima peringkat yang digunakan di Jepun, menurut data rasmi.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk untuk kekal di dalam rumah dan dalam persekitaran yang sejuk serta merancang aktiviti musim panas.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan