DUNIA > BERITA

PM UK Kutuk Keganasan Kumpulan Berhaluan Kanan

05/08/2024 11:28 AM

LONDON, 5 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer pada Ahad mengutuk keganasan kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di seluruh negara susulan insiden serangan pisau yang menyebabkan tiga kanak-kanak perempuan terbunuh di Southport.

"Saya jamin anda akan menyesal menyertai keganasan ini, sama ada secara langsung atau menyebarkannya dalam talian," kata Starmer menerusi ucapannya yang disiarkan di televisyen.

Serangan berlaku pada Isnin ketika kanak-kanak terbabit menyertai bengkel tarian bertemakan Taylor Swift di Southport.

Axel Rudakubana, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilahirkan di Cardiff dan ibu bapanya berasal dari Rwanda didakwa atas tuduhan membunuh.

Rusuhan itu didorong oleh maklumat palsu yang tersebar dalam talian mengenai kewarganegaraan dan agama remaja berkenaan, mencetuskan kebencian terhadap umat Islam dan penduduk imigran serta mengakibatkan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis di seluruh UK.

Protes mencapai kemuncaknya pada hujung minggu, lapor Xinhua.

Ketua Majlis Ketua Polis Negara bagi ketenteraman awam, BJ Harrington berkata sebanyak 147 tangkapan dibuat berkaitan keganasan sejak malam Sabtu dan jumlah itu dijangka meningkat.

"Maklumat palsu adalah punca utama keganasan dan ramai yang menghadiri protes ini bertindak balas kepada apa yang mereka baca dalam talian," kata Harrington.

Rusuhan berlaku di bandar-bandar utama seperti London, Manchester, Liverpool, Bristol, Leeds, Nottingham, Sunderland dan Belfast.

Starmer berkata serangan terhadap hotel di Rotherham yang dipercayai menempatkan pendatang tidak boleh diterima.

Beliau menyifatkan keganasan itu sebagai "keganasan berhaluan kanan" dan menggesa syarikat media utama memerangi maklumat salah.

Bekas Perdana Menteri UK, Rishi Sunak berkata pergolakan di seluruh negara kini adalah tingkah laku jenayah yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat dan menyokong penuh tindakan polis.

Bekas First Minister Scotland, Humza Yousaf berkata pihak polis tidak dapat mengawal keadaan dan menyeru campur tangan tentera.

"Berapa teruk lagi ia perlu berlaku sebelum tentera campur tangan, @Keir_Starmer?" katanya.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan