DUNIA > BERITA

Paris 2024: Pemanjat Poland Miroslaw Pecah Rekod Dunia

06/08/2024 10:13 AM

PARIS, 5 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Hari pembukaan sukan memanjat atau sport climbing di Sukan Olimpik Paris menyaksikan beberapa insiden dan rekod baharu dunia tercipta.

Aleksandra Miroslaw dari Poland memecahkan rekod dunianya sendiri dua kali dalam pusingan kelayakan, sementara kerosakan 'sistem pemasaan' menyebabkan gangguan 20 minit dalam pertandingan di Le Bourget Sport Climbing Venue, lapor Xinhua.

Pusingan kelayakan 'panjat laju' berlangsung melalui fasa penetapan dan penyingkiran untuk menentukan lapan terbaik. 

Miroslaw, 30, mencatatkan masa 6.21 saat dalam percubaan pertamanya semasa fasa penetapan, mengatasi rekod dunia sebelumnya sebanyak 0.03 saat. Dia kemudian memperbaiki catatan masanya kepada 6.06 saat dalam pusingan kedua.

Dalam pusingan penyingkiran, Miroslaw mencatatkan 6.10 saat menentang Aniya Holder dari Afrika Selatan dan mara ke final.

Dia telah memecahkan rekod dunia sebanyak tujuh kali sejak 2021 menjelang Sukan Olimpik Paris. 

Bagaimanapun, dia enggan ditemu bual media antarabangsa selepas pertandingan, menyatakan perasaannya secara ringkas dalam bahasa Poland sebelum meninggalkan venue.

Sementara itu, pasukan Paris 2024 sedang menganalisis punca insiden melibatkan sistem pemasaan untuk memastikan ia tidak berulang.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan