DUNIA > BERITA

Rakyat Malaysia Menetap, Berkunjung Ke Uk Dinasihat Mendaftar Dengan Suruhanjaya Tinggi

06/08/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke United Kingdom (UK) dinasihatkan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berikutan protes yang berterusan di pelbagai kawasan di negara itu.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London menasihatkan rakyat Malaysia yang melawat UK kurang daripada satu bulan untuk menghantar e-mel kepada Suruhanjaya Tinggi di lonmalaysian@kln.gov.my.

Subjek e-mel hendaklah memasukkan hari terakhir pelawat di UK diikuti dengan nama dalam format YYYYMMDD NAMA (contohnya, 20240805 ABU BIN ALI jika hari terakhir ialah 5 Ogos 2024, dan nama adalah Abu bin Ali).

Selain itu, kandungan e-mel harus menyertakan nama ahli keluarga yang turut serta, nombor Kad Pengenalan, nombor pasport, alamat di UK, nombor telefon dan tempoh tinggal di UK.

Selain itu, nama, nombor telefon dan hubungan dengan waris juga perlu disertakan.

"Bagi mereka yang menetap atau melawat UK lebih daripada satu bulan, daftar kehadiran anda melalui perkhidmatan e-Konsular Kementerian Luar Negeri melalui laman sesawang atau aplikasi mudah alih.

"Bagi pelajar Malaysia, pendaftaran boleh dibuat melalui platform pendaftaran Kementerian Pendidikan Tinggi di https://dohe.mohe.gov.my/mydata/login," tambahnya.

Rakyat Malaysia di UK yang telah mendaftar di portal TalentCorp MyHeart dianggap telah mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, dan tidak perlu mengambil tindakan lanjut.

Menurut laporan media, pihak berkuasa UK menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk menamatkan rusuhan terburuk di England dalam tempoh 13 tahun, yang dicetuskan oleh serangan tikam di Southport pada 29 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan