DUNIA > BERITA

China, Switzerland Bertukar Pendapat Mengenai Isu Palestin

06/08/2024 04:02 PM

BEIJING 6 Ogos (Bernama-CMG) -- China berhasrat agar pelbagai kumpulan Palestin dapat mewujudkan solidariti dan penyatuan bangsa serta menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka secepat mungkin berdasarkan perdamaian dalaman.

Perkara itu dinyatakan utusan khas kerajaan China bagi isu Asia Barat, Zhai Jun dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Switzerland, Wolfgang Amadeus Brulhart pada Isnin.

"China juga bersedia bersinergi dengan Switzerland untuk terus memberi sumbangan positif bagi mendorong kedamaian dan kestabilan di rantau itu," kata Zhai.

Sementara itu, Brulhart merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada usaha pengantaraan China yang berjaya menganjurkan dialog perdamaian antara 14 kumpulan Palestin dan membantu mereka menandatangani 'Deklarasi Beijing' untuk menamatkan perpecahan dan memperkasa solidariti dalaman Palestin.

Brulhart menegaskan Switzerland berpendirian sama dengan China mengenai perdamaian dalaman Palestin.

Beliau menganggap perpaduan dan kelantangan pelbagai kumpulan Palestin sebagai prasyarat untuk mewujudkan formula 'penyelesaian dua negara' dalam menangani isu Palestin.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan