DUNIA > BERITA

Rangkaian Keganasan Rekrut Remaja Melalui Media Sosial Disiasat - Polis Indonesia

06/08/2024 04:17 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 6 Ogos (Bernama) -- Polis Indonesia sedang menyiasat bagaimana rangkaian keganasan menggunakan media sosial untuk merekrut ahli selepas penahanan seorang suspek berusia 19 tahun di Batu, Malang, Jawa Timur.

Suspek yang dikenali sebagai HOK ditahan pada 31 Julai ketika melupuskan bahan kimia untuk bahan letupan. Laporan menunjukkan bahawa HOK mengembangkan pandangan radikal melalui interaksi media sosial.

Unit antikeganasan elit negara itu, Densus 88 mendedahkan bahawa radikalisasi dan propaganda pengganas di media sosial dengan cepat boleh menyebabkan individu untuk melakukan pengeboman bunuh diri.

Jurucakapnya Pesuruhjaya Aswin Siregar dalam satu kenyataan memaklumkan semua itu berlaku dalam tempoh kira-kira enam hingga tujuh bulan.

Densus 88 juga sedang meneliti bagaimana media sosial dan pemantauan keluarga yang tidak mencukupi menyumbang kepada keinginan remaja itu untuk menyerang laman keagamaan yang dianggapnya sebagai kafir mengikut ideologi yang dianutinya.

Menurut Aswin, HOK mula mempelajari ideologi ISIS pada November 2023 dan memperoleh bahan membuat bom antara Mei dan April tahun ini.

Pakar keganasan Al Chaidar dari Universiti Malikussaleh Aceh menyatakan bahawa Daulah Islamiyah, sebuah kumpulan baharu yang ditubuhkan daripada bekas ahli Jemaah Islamiyah (JI) dan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), masih bergabung dengan ISIS.

“Kumpulan ini telah aktif sejak Jun 2023 dan menyasarkan tempat ibadat,” tambahnya.

Chaidar menambah bahawa ramai bekas ahli JI telah menyertai ISIS, mengekalkan pelbagai rangkaian pengganas aktif walaupun JI dibubarkan secara rasmi pada 30 Jun di Bogor, Jawa Barat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan