DUNIA > BERITA

Polis Thailand, Malaysia Perkukuh Kerjasama Banteras Jenayah Rentas Sempadan

06/08/2024 09:33 PM

BANGKOK, 6 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Thailand akan terus bekerjasama dengan rakan sejawatannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan menggalakkan kerjasama dalam hal ehwal polis.

Ketua Polis Negara Thailand Jeneral Torsak Sukvimol berkata mesyuarat tahunan Thailand-Malaysia berfungsi sebagai platform untuk kedua-dua negara membincangkan pelbagai jenayah rentas sempadan dan mengekalkan kerjasama dalam hal ehwal kepolisan.

"Ia adalah mesyuarat tahunan yang dihoskan secara bergilir-gilir oleh kedua-dua negara. Ini mencerminkan dedikasi kami untuk mengekalkan ketenteraman dan membina keyakinan dalam masyarakat kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Kajian Jabatan ke-27 Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja antara Thailand-Malaysia mengenai Aktiviti Jenayah yang diadakan di sini.

Beliau menambah bahawa kedua-dua negara akan terus menegakkan komitmen mereka untuk memerangi jenayah rentas sempadan dengan bertukar-tukar risikan, sumber dan kepakaran.

Torsak berkata tahun ini, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada bertukar-tukar maklumat mengenai sembilan topik utama.

Beliau berkata tumpuan utama termasuk penyeludupan dan pemerdagangan senjata api, kenderaan curi, pemerdagangan manusia dan imigresen haram.

"Jenayah ekonomi, jenayah siber, penyeludupan dan pengedaran dadah, keselamatan sempadan, jenayah maritim, keganasan dan latihan serta pembinaan kapasiti turut dibincangkan semasa mesyuarat sehari itu," katanya.

Sementara itu, menurut laman Facebook rasmi PDRM, satu kenyataan disiarkan menyatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menghadiri mesyuarat itu, diiringi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh dan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris di Bangkok pada Selasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan