DUNIA > BERITA

Olimpik Paris 2024 : Harapan pingat Uganda, Cheptegei dan Kiplimo tarik diri acara 5,000m

06/08/2024 09:40 PM

KAMPALA, 6 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Atlet terkemuka Uganda, Joshua Cheptegei dan Jacob Kiplimo telah menarik diri daripada perlumbaan 5,000 meter di Sukan Olimpik Paris.

Cheptegei, yang baru-baru ini memenangi emas dalam final 10,000 meter dan mencatat rekod baharu, serta rakan senegaranya Kiplimo yang menduduki tempat kelapan dalam perlumbaan Jumaat lepas dengan prestasi terbaik musim ini, telah memilih untuk tidak bertanding dalam acara 5,000 meter yang akan bermula dengan pusingan kelayakan pada Rabu di Stade de France di Paris, menurut Agensi Berita Xinhua.

Ketua jurulatih Faustino Kiwa berkata pada Selasa bahawa kedua-dua atlet itu tidak dapat pulih tepat pada masanya untuk acara 5,000 meter disebabkan keletihan yang mereka alami semasa final 10,000 meter yang mencabar.

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Uganda bahawa wira kita, Joshua Cheptegei dan Jacob Kiplimo, secara rasmi telah menarik diri daripada perlumbaan 5,000 meter yang dijadualkan pada Rabu, 7 Ogos 2024. Ini berikutan kegagalan mereka untuk pulih sepenuhnya daripada perlumbaan 10,000 meter yang meletihkan yang kedua-dua atlet bertanding pada Jumaat," kata Kiwa.

"Acara itu telah meninggalkan mereka dengan kesakitan pada otot kaki dan lengan. Usaha oleh pasukan fisioterapi untuk mengembalikan atlet ke bentuk normal mereka tidak berjaya," tambahnya.

"Kini hanya Oscar Chelimo sebagai pejuang tunggal yang memegang bendera Uganda dalam perlumbaan 5,000 meter."

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan