DUNIA > BERITA

Buku "The Story Of China And Malaysia" Dilancar Rai Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik

06/08/2024 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Buku bertajuk “The Story of China and Malaysia” sempena memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dilancar hari ini bagi meraikan persahabatan, kerjasama dan saling menghormati antara Malaysia dan China. 

Disunting oleh bekas Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang dan Hu Zhengyue, buku itu merupakan bukti hubungan yang bertenaga dan dinamik antara kedua-dua negara. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya, berkata pelancaran buku itu juga menandakan perjalanan bersama persahabatan, kerjasama dan saling menghormati antara Malaysia dan China yang telah menjangkau setengah abad. 

"Sempena jubli emas ini, marilah kita memperbaharui komitmen kita untuk memperdalam hubungan yang mengikat Malaysia dan China. Marilah kita terus bekerjasama, berganding bahu, untuk membina masa depan yang penuh dengan keamanan, kemakmuran dan saling menghormati," katanya. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang mewakili beliau pada majlis yang diadakan di Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik itu. 

Buku itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu kenangan, tokoh, kerjasama dan kemanusiaan, yang diceritakan dalam naratif menyeluruh yang indah memaparkan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan China dari pelbagai perspektif. 

Huang, seorang daripada editor buku itu, dalam video yang ditayangkan semasa pelancaran itu berkata 50 tahun lepas, Malaysia membuat pilihan strategik (untuk menjalin hubungan dengan China) dan sejak itu, kedua-dua negara telah mengharungi segala cabaran untuk menjadikan hubungan bilateral ini masa terbaik dalam sejarah. 

Dan kini, kedua-dua negara sedang membina komuniti masa depan bersama, tambahnya. 

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam ucapannya berkata Malaysia dan China perlu mengesahkan komitmen mereka untuk memperdalam hubungan dua hala dan memupuk persefahaman yang lebih erat antara rakyat. 

Pelancaran buku itu diikuti dengan perbincangan forum sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan