DUNIA > BERITA

Pemenang Hadiah Nobel Muhammad Yunus Ketuai Kerajaan Peralihan Bangladesh

07/08/2024 08:25 AM

DHAKA, 7 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan peralihan negara itu susulan peletakan jawatanbekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan rasmi pada petang Selasa.

Keputusan yang disahkan oleh setiausaha akhbar presiden Joynal Abedin dicapai dalam satu mesyuarat yang melibatkan Presiden Mohammad Shahabuddin, ketua angkatan tentera dan pemimpin Gerakan Pelajar Antidiskriminasi Bangladesh.

Pada petang Selasa, 13 penyelaras gerakan itu melawat kediaman rasmi presiden untuk membincangkan situasi dan rangka kerja kerajaan sementara dengan Shahabuddin.

Kemudian, ketua angkatan tentera darat, laut dan udara turut serta.

Keputusan untuk membentuk kerajaan sementara dibuat selepas perbincangan antara Shahabuddin, penyelaras dan pemimpin tentera.

Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri ke negara jiran, India pada Isnin. Kabinet dibubarkan sejurus selepas itu.

Berikutan peletakan jawatan perdana menteri, ketua tentera Bangladesh Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara.

Pada Selasa, Shahabuddin turut membubarkan parlimen negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan