DUNIA > BERITA

Panglima Tentera Darat Kukuhkan Hubungan Dua Hala Sempena Lawatan Ke Indonesia

07/08/2024 02:10 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Ogos (Bernama) -- Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengadakan kunjungan hormat sempena lawatan kerja ke atas Ketua Staf Angkatan Darat Indonesia Jeneral Maruli Simanjuntak di Markas Besar Angkatan Darat di sini pada Selasa.

Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) dalam satu kenyataan memaklumkan pertemuan itu menekankan topik perbincangan mengenai latihan bersama, meningkatkan profesionalisme dalam melaksanakan tugas dan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Semoga persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua tentera darat semakin erat, dengan terus berpegang kepada komitmen dan semangat yang tinggi, agar bersama-sama kita dapat menjaga kestabilan dan keamanan di rantau Asia Tenggara,” kata Maruli. 

Muhammad Hafizuddeain turut berkongsi pandangan yang sama dengan menekankan hubungan kukuh antara kedua-dua pihak akan memberi kesan baik kepada hubungan Malaysia dan Indonesia.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan hubungan dua hala antara TDM dan TNI AD terjalin sejak 1958 dan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif kerjasama antara kedua-dua negara.

Sesi kunjungan hormat itu melibatkan upacara Kawalan Kehormatan Utama, perbincangan dengan pegawai-pegawai tertinggi TNI AD, sesi menandatangani buku lawatan dan diakhiri dengan pertukaran cenderahati.

Muhammad Hafizuddeain dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Tangerang, Banten pada Isnin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan