DUNIA > BERITA

Produk Buatan China Terserlah Di Sukan Olimpik Paris

07/08/2024 02:47 PM

BEIJING, 7 Ogos (Bernama-CMG) -- China berjaya mempamerkan daya inovasi dan kemahiran teknologinya di gelanggang Sukan Olimpik Paris menerusi produk buatan tempatan, termasuk peralatan sukan untuk kegunaan temasya serta pelbagai jenis cenderahati yang boleh kelihatan di merata tempat.

Syarikat Pengeluaran Barbell Zhangkong dari wilayah Hebei yang merupakan pembekal rasmi untuk acara angkat berat dalam Sukan Olimpik Beijing pada 2008, Rio pada 2016 dan Tokyo pada 2021 terpilih buat kali keempat sebagai pembekal rasmi temasya sukan berprestij itu. 

Antara peralatan sukan yang disediakan syarikat berkenaan termasuk platform angkat berat dan barbel untuk pertandingan serta peralatan lain untuk venue latihan.

Syarikat dari utara China itu membangunkan sendiri teknologi penghasilan plat barbel menerusi pengacuan sekali.

Reka bentuk unik pada bar barbel itu dicipta khas dengan mengambil kira aspek kesesuaian dan keselamatan atlet angkat berat, selain memenuhi piawaian ditetapkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Acara papan luncur angin iQFOiL pertama kali disenaraikan dalam Olimpik di Paris. Syarikat Bahan Komposit Suli dari Jingzhou wilayah Hubei merupakan satu-satunya pembekal peralatan luncur angin untuk perlumbaan acara berkenaan.

Selain peralatan sukan, banyak barang cenderahati Olimpik yang dihasilkan China juga mencuri perhatian ramai.

Menurut Jawatankuasa Penganjur Olimpik Paris, sebanyak 80 peratus maskot temasya sukan berkenaan adalah buatan negara Tembok Besar.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan