DUNIA > BERITA

Korea Selatan, Malaysia Perkukuh Kerjasama Pertahanan

07/08/2024 02:54 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Korea Selatan berusaha untuk meningkatkan hubungan sektor pertahanannya dengan Malaysia dengan menawarkan pakej komprehensif yang merangkumi pemindahan teknologi, sokongan logistik dan latihan intensif bagi memperkukuhkan keupayaan pertahanan Malaysia.

Timbalan Menteri Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA) Korea Selatan, Kang Hwan Seug berkata kerjasama Malaysia-Korea Selatan dalam industri pertahanan telah mula berkembang selepas pemeteraian kontrak pesawat FA-50. Ini dijangka membawa kepada kerjasama yang lebih menyeluruh dan berpanjangan dalam pelbagai bidang.

"Korea Selatan boleh menjadi rakan kongsi yang ideal untuk Malaysia, yang sedang menjalani pemodenan ketenteraan,” kata Kang kepada Bernama semasa lawatan tiga harinya ke Malaysia mulai 6 Ogos.

Beliau turut menghadiri Seminar Industri Pertahanan 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Mei tahun lalu, Malaysia dan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak bernilai hampir RM4 bilion untuk 18 pesawat FA-50 Block 20, yang kini dikenali sebagai FA-50M.

"Korea Selatan ingin melangkaui hubungan ‘pembeli-penjual’ dan mencapai perkongsian komprehensif dan timbal balik yang merangkumi program kerjasama industri seperti pembangunan bersama simulator FA-50," kata Kang.

Kang juga menyatakan bahawa peningkatan keserasian dan keupayaan saling boleh kendali antara sistem senjata Korea Selatan dan Malaysia melalui rantaian bekalan bersama barangan pertahanan akan menyumbang kepada keselamatan negara dan keupayaan ketenteraan kedua-dua negara.

Beliau menambah bahawa kerjasama antara kedua-dua negara dapat mengukuhkan keselamatan serantau dan membawa manfaat ekonomi, seperti penciptaan peluang pekerjaan dan pengukuhan asas industri pertahanan Malaysia.

"Memandangkan kerjasama industri pertahanan adalah tonggak kepada perkongsian dua hala ini, Korea Selatan berharap untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi membuka jalan kepada masa depan yang lebih makmur," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan