DUNIA > BERITA

Parti Pembangkang Utama Bangladesh Adakan Perhimpunan Pada Rabu

07/08/2024 07:57 PM

MOSCOW, 7 Ogos (Bernama-Sputnik) -- Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), parti pembangkang utama negara itu akan mengadakan perhimpunan pada Rabu, lapor Sputnik.

"(Pada) 7 Ogos 2024, Rabu pukul 2 petang (0800 GMT) di hadapan pejabat pusat BNP di Nayapaltan, satu perhimpunan akan diadakan di bawah inisiatif Parti Nasionalis Bangladesh (BNP). Pemangku pengerusi BNP, Tarique Rahman akan menyampaikan ucapan sebagai tetamu utama.

“Selain itu, pemimpin nasional termasuk Setiausaha Agung BNP Mirza Fakhrul Islam Alamgir juga akan berucap pada perhimpunan itu," menurut parti itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut sama ada ketua parti dan bekas perdana menteri Bangladesh Khaleda Zia yang dibebaskan dari penjara pada Selasa, akan menghadiri perhimpunan itu.

Platform parti BNP sebahagian besarnya memberi tumpuan kepada sokongan untuk ekonomi pasaran, Islam, nasionalisme Bengali, anti-komunisme dan pembaharuan sosial bagi mengurangkan kemiskinan serta memodenkan masyarakat.

Pada Isnin, Sheikh Hasina meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan meninggalkan kediaman rasmi di Dhaka serta melarikan diri ke India.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar.

Protes bermula di Dhaka dan seluruh negara selepas pengumuman tindakan "tidak bekerjasama" dengan pihak berkuasa selama beberapa hari, yang dilancarkan pada Ahad oleh Gerakan Pelajar Anti-Diskriminasi.

Pertempuran antara pelajar, polis dan penyokong kerajaan memuncak sehingga menjadi rusuhan.

-- BERNAMA-SPUTNIK


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan