DUNIA > BERITA

Laporan Kumpulan Pemikir Tentang Pencapaian, Sumbangan Reformasi China Diterbitkan

07/08/2024 07:58 PM

BEIJING, 7 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Sebuah laporan kumpulan pemikir mengenai pencapaian dan sumbangan global usaha reformasi China dalam era baharu telah dilancarkan dalam satu simposium yang diadakan pada Selasa di Beijing, menurut Agensi Berita Xinhua. 

Bertajuk "Memperdalam Reformasi Secara Menyeluruh untuk Memajukan Modenisasi China: Pencapaian Utama dan Sumbangan Global," laporan itu diterbitkan bersama dalam Bahasa Cina dan Inggeris oleh kumpulan pemikir di bawah Institut Sejarah Parti dan Kesusasteraan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) dan Agensi Berita Xinhua.

Laporan itu secara sistematik merumuskan pencapaian utama, prinsip asas dan sumbangan global usaha CPC dalam memperdalam reformasi secara menyeluruh untuk memajukan modenisasi China dalam era baharu.

Dalam ucapan pada acara itu, Qu Qingshan, Presiden Institut Sejarah Parti dan Kesusasteraan Jawatankuasa Pusat CPC dan Pengerusi Majlis Kumpulan Pemikir Peringkat Tinggi Nasional institut itu, berkata bahawa modenisasi China sentiasa bergerak maju  dan pasti akan membuka prospek yang luas dalam reformasi dan keterbukaan.

Beliau berkata bahawa membina ekonomi pasaran sosialis berstandard tinggi dan mempromosikan pembangunan ekonomi berkualiti tinggi adalah penting untuk memperdalam reformasi secara menyeluruh.

Beliau juga menekankan kepentingan meningkatkan keupayaan untuk keterbukaan sambil memperluas kerjasama dengan negara lain.

Fu Hua, Presiden Agensi Berita Xinhua dan juga Pengerusi Jawatankuasa Akademik Institut Xinhua, sebuah badan pemikir berpengaruh tinggi Agensi Berita Xinhua, berkata agensi itu akan memanfaatkan kelebihan uniknya sebagai agensi berita negara dan badan pemikir peringkat tinggi nasional.

Beliau juga berikrar akan berusaha untuk bekerjasama dengan media dan badan pemikir domestik dan antarabangsa bagi menghasilkan lebih banyak laporan berita dan penemuan penyelidikan berkualiti tinggi.

Pembukaan simposium itu dipengerusikan oleh Lyu Yansong, Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Akademik Institut Xinhua.

Simposium yang bertemakan pemahaman mengenai plenum ketiga Jawatankuasa Pusat CPC ke-20 itu dihadiri oleh lebih 200 diplomat, pakar kumpulan pemikir dan wartawan dari lebih 60 negara untuk pertukaran dan perbincangan.

-- BERNAMA-Xinhua


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan