DUNIA > BERITA

Dua Maut, Beberapa Mangsa Cedera Selepas Hotel Runtuh Di Barat Jerman

07/08/2024 08:00 PM

MAINZ (Jerman), 7 Ogos (Bernama-dpa) -- Dua orang maut selepas sebahagian bangunan sebuah hotel di Rhineland-Palatinate, Jerman runtuh pada Selasa malam, menurut polis dalam satu sidang media pada Rabu.

Sementara itu, tiga lagi mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan dikhuatiri mengalami kecederaan serius, kata jurucakap pusat operasi kecemasan daerah, Jörg Teusch.

"Seluruh struktur bangunan itu tidak stabil,” lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Teusch.

Beliau berkata kerja-kerja penggerudian teras dilakukan bagi memasang mikrofon yang kemudiannya digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa yang terperangkap.

Terdahulu pada Rabu, polis melaporkan bahawa empat orang berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, dua wanita dan seorang lelaki.

Seramai 14 orang berada di hotel ketika kejadian, lima daripadanya berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan